Anda di sini

Majlis Belia Pahang jelajah negeri jelaskan GST kepada belia

KUANTAN: Majlis Belia Pahang akan menjelajah ke semua daerah di negeri itu bagi membantu kerajaan menjelaskan tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada golongan muda.

Presidennya Khairul Amin Osman berkata mereka menyasarkan untuk mengumpul sekurang-kurangnya 100 belia pada satu-satu sesi penjelasan di setiap daerah.

“Usaha ini bagi membolehkan belia memahami lebih lanjut tentang GST dan kemudian menjelaskan kepada masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas majlis penerangan GST peringkat daerah Kuantan anjuran persatuan itu, di sini kelmarin.

Katanya bermula dengan daerah Kuantan, jelajah itu akan diteruskan ke daerah lain dalam masa terdekat.

“Kita jangka keseluruhan sesi penerangan ke 11 buah daerah itu dapat diselesaikan pada bulan Jun depan,” katanya.

Cara itu katanya diharapkan dapat mewujudkan 1,100 belia yang arif mengenai GST dan berperanan memberi penjelasan kepada masyarakat di akar umbi.

Dalam pembentangan Bajet 2014 pada Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan GST pada kadar enam peratus bermula April 2015.

Pelaksanaan GST itu menggantikan dua cukai sedia ada iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkadar keseluruhan 16 peratus. — Bernama