Anda di sini

Bantuan diagih terus kepada mangsa banjir elak keciciran

Advertisement

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang akan mengagihkan bantuan banjir berjumlah RM750 secara terus kepada setiap keluarga mangsa banjir mengikut kawasan atau kampung masing-masing bagi mengelak masalah keciciran bantuan.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata mekanisme tersebut dilaksanakan berikutan terdapat dakwaan berlaku keciciran nama penerima ketika bantuan tersebut mula diagihkan secara berperingkat kepada mangsa dua hari lepas.

“Saya tidak terkejut masalah (keciciran) ini berlaku sebab kita nak bagi 20,000 isi rumah yang terlibat dalam banjir sebelum ini, ramai, jadi memang akan berlaku keciciran.  Kita minta orang ramai bersabar,” katanya kepada pemberita selepas majlis penjenamaan semula Hotel Vistana Kuantan di sini semalam.

Adnan dalam pada itu tidak menafikan kekangan maklumat turut menjadi faktor masalah keciciran itu berlaku.

Sebagai contoh ada rumah yang didiami beberapa keluarga, katanya.

Berikutan banjir yang melanda beberapa negeri pada Disember lepas, kerajaan pusat mengumumkan pemberian bantuan wang tunai RM500 manakala kerajaan negeri RM250 kepada setiap keluarga mangsa banjir. — Bernama

Advertisement