Anda di sini

Paruwadi kesal desakan bekas pemain

Advertisement

KUCHING: Naib Presiden V Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Dr Paruwadi Musa menyelar tindakan bekas pemain yang kini mengadakan siri jelajah ke beberapa negeri sebagai ‘protes’ mahukan tampuk kepimpinan badan induk berkenaan ditukar.

Menurut Paruwadi, tin­dakan berbuat demikian bukan sahaja merugikan semua pihak malah akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Sebagai naib presiden PSM, saya amat kesal den­gan tindakan segelintir bekas pemain yang mendesak agar kepimpinan badan induk PSM ditukar melalui cara sebegini,” ujar Paruwadi yang ditemui ketika meraikan rombongan pemain golf dari Semenanjung semalam.

“Pada pandangan saya, tindakan mereka ini bukan sahaja kurang bijak malah tidak profesional.”

Beliau berpendapat, dalam soal ini ahli gabungan PSM lebih arif tentang hala tuju persatuan.

“Biarlah ahli gabungan PSM yang menentukan hala tuju persatuan dan jangan melibatkan campur tangan dari orang luar,” tegasnya lagi.

“Dalam situasi seperti ini kerjasama dari semua pihak perlu ada. Tindakan di luar batasan seperti ini ibarat ‘an­jing menyalak bukit’ yang tidak mendatangkan faedah langsung,” tambah Paruwadi lagi.

Beliau juga percaya Presi­den PSM Datuk Ahmad Ismail mengetahui apa yang perlu dilakukan pihaknya selepas ini.

Dalam perkembangan sama, Paruwadi percaya pem­inat mahupun penggiat sukan sepak takraw di Sarawak tidak akan menerima cara seperti itu yang dilihat boleh menim­bulkan masalah lebih rumit di masa akan datang.

Advertisement