Anda di sini

Setiausaha Politik Ketua Menteri bagi wanita ditambah kepada dua

Advertisement

KUCHING: Jawatan Setiausaha Politik Ketua Menteri bagi wanita akan dinaikkan lagi kepada dua orang.

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, perkara itu diumumkan pada mesyuarat dengan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud Ahad lalu.

“Seperti apa yang kita dapat lihat, sama ada di peringkat kerajaan persekutuan atau negeri, kerajaan mengiktirafkan peranan yang dimainkan oleh golongan wanita.

“Jumlah wakil semakin hari semakin meningkat dengan adanya wanita yang memegang jawatan Pemanca, Ketua Kaum, Ketua Kampung yang tidak kedengaran pada masa lalu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sentuhan Kasih Tahun Baharu Cina Petronas di pekarangan Muzium Negeri di sini kelmarin.

Katanya, ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) peka kepada sumbangan jantina terhadap pembangunan negeri dan negara.

Di Sarawak, perkara itu ditunjukkan Taib yang turut mengiktiraf kepentingan peranan dan sumbangan yang dimainkan wanita dalam pembangunan negara.

“Oleh kerana dasar itu yang memberi peluang kepada wanita, peratusan wanita di peringkat membuat keputusan di Sarawak telah meningkat.

Ini yang kita mahukan untuk membangunkan dan mensejahterakan Sarawak bersama-sama dengan kaum lelaki,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan wanita untuk memegang jawatan Ketua Menteri, beliau berkata: “Saya tidak pernah terfikir tetapi mungkin satu hari nanti ia bukan satu yang mustahil.

” “Buat masa sekarang, wanita perlu mengambil langkah satu demi satu, bak kata pepatah, sebelum berlari biar kita belajar merangkak terlebih dahulu,” katanya.

Advertisement