Anda di sini

Mayat pelancong Jerman dihantar pulang

Advertisement

KOTA KINABALU: Proses penghantaran balik mayat pelancong Jerman yang maut selepas terjatuh dari puncak Gunung Kinabalu diuruskan kelmarin.

Difahamkan, pegawai dari Kedutaan Republik Persekutuan Jerman yang tiba pada waktu petang di sini menguruskan sijil kematian Victoria Paulsen, 22, dan pengangkutan untuk membawa balik mayat ke negara asalnya.

Menurut pegawai yang bertanggungjawab, mayat Victoria diambil dari tempat pengebumian KK Tonghua di Kolombong, di sini, pada jam 12.20 tengahari.

Kemudiannya, pihak kedutaan yang membawa mayat Victoria tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) kira-kira jam 4.40 petang untuk menaiki pesawat ke Kuala Lumpur pada jam 7 malam.

Dari Kuala Lumpur, mayatnya akan diterbangkan ke Jerman untuk dipertemukan dengan ahli keluarganya yang menanti sejak berita kematiannya dilaporkan.

Victoria yang terlibat dalam program pertukaran pelajar di Universiti Xiamen, China mengikuti aktiviti mendaki Gunung Kinabalu bersama teman lelakinya dan tiga lagi rakan lain.

Namun, kegembiraan mereka bertukar tragedi selepas dia terjatuh kira-kira 30 meter dari kawasan Low’s Peak iaitu puncak tertinggi Gunung Kinabalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa dilaporkan terjatuh ketika mengambil gambar pada ketinggian 4095.2 meter atas paras laut.

Mayatnya berjaya dibawa dari kawasannya terjatuh oleh pihak penyelamat Taman-Taman Sabah (TTS) kira-kira jam 5.05 petang dan terus dibawa ke Hospital Daerah Ranau.

Advertisement