Anda di sini

Langgar skim harga, peniaga di Batu Danau dikompaun

Advertisement

LIMBANG: Seorang peniaga di kawasan Batu Danau di sini dikenakan kompaun RM100 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Limbang pada 31 Januari lepas kerana tidak mematuhi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina yang berkuat kuasa sejak 29 Januari lepas.

Ketua Cawangan KPDNKK Bahagian Limbang Jubin Janggong berkata, peniaga terbabit dikenakan tindakan kerana kesalahan tidak meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi barangan kawalan yang dijual walaupun sudah dimaklumkan sebelum ini.

Beliau berkata, setakat ini hanya satu kes dilaporkan membabitkan peniaga yang melanggar peraturan skim terbabit yang dikuatkkuasakan selama 15 hari dari 29 Januari hingga 9 Februari lepas.

“Peniaga tersebut dari kawasan Batu Danau dikompaun RM100 kerana kesalahan tidak meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jubin berkata, kerajaan menetapkan harga 12 jenis barang kawalan antaranya daging babi, ayam dan bawang putih di bawah skim terbabit. Dalam pada itu, beliau turut berpuas hati dengan maklum balas yang ditunjukkan peniaga sepanjang tempoh tersebut.

“Hasil pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan anggota penguat kuasa juga, peniaga mematuhi skim kawalan dengan harga yang ditetapkan dan meletakkan harga dengan pelekat merah jambu bagi membezakan barangan yang dikawal,” katanya.

Sebelum ini, operasi yang dilancarkan turut disertai dua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Bahagian Limbang Mohd Tarmizi Mohd Amin dan Wendy Dasu serta enam anggota penguat kuasa lain.

Pemeriksaan, katanya, turut dijalankan di bangunan Tamu Limbang dan Pasar Limbang.

“Setakat ini, peniaga mempunyai kesedaran tinggi untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan KPDNKK dengan tidak menaikkan harga dan meletakkan harga dengan tanda merah jambu,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan skim itu bertujuan untuk mengelak kenaikan harga sesuka hati semasa musim perayaan.

“Pada masa sama, ia merupakan langkah kerajaan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat di seluruh negara,” katanya.

Katanya, walaupun skim tersebut sudah berakhir, namun kementerian akan sentiasa membuat pemantauan dan tidak akan bertolak ansur dalam hal tersebut dan mereka yang tidak mengikut peraturan akan dikenakan tindakan tegas.

Advertisement