Anda di sini

Kempen awal: Majlis Peguam mahu SPR ambil tindakan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia semalam meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan terhadap parti politik yang sudah berkempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang sedangkan tempoh rasmi untuk berbuat demikian hanya bermula bulan depan.

Presidennya Christopher Leong berkata semua pihak perlu mematuhi undang-undang pilihan raya yang memperuntukkan tempoh tertentu untuk berkempen.

“Saya berpendapat peraturan pilihan raya sudah menyatakan dengan jelas tempoh yang ditetapkan untuk berkempen, jadi semua pihak perlu mematuhi undang-undang berkenaan.

“…dan jika mana-mana pihak melanggarnya, maka SPR perlu berbuat sesuatu mengenainya…mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya, saya percaya SPR perlu menguatkuasakan undang-undang itu,” katanya pada sidang akhbar di sini.

PRK Dewan Undangan negeri Kajang diadakan berikutan perletakan jawatan penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat Lee Chin Cheh pada  27 Jan.

Rabu lepas, SPR meng-umumkan hari penamaan calon bagi PRK Kajang ialah pada 11 Mac, manakala tarikh pengundian pada 23 Mac.

Menurut peraturan pilihan raya, kempen hanya boleh diadakan secara rasmi selepas selesai proses penamaan calon dan berakhir 24 jam sebelum hari pengundian.

Sementara itu, Leong berkata forum dua hari bertajuk “Ke Arah Sistem Pilihan Raya Lebih Adil” akan diadakan di Dewan Sivik Petaling Jaya Sabtu ini.

Forum anjuran bersama Majlis Peguam Malaysia dan Tindak Malaysia ini bertujuan mendidik rakyat Malaysia bahawa walaupun pilihan raya umum sudah berlalu, tetapi peluang untuk melakukan perubahan masih ada. — Bernama

Advertisement