Anda di sini

Jambatan gantung tunggu masa sembah bumi

Advertisement

PERLU DIPERBAIKI: Jambatan gantung SK Nanga Merit yang usang dan perlu diperbaiki.

Ibu bapa SK Nanga Merit amat bimbang keselamatan anak-anak yang terpaksa melalui jambatan uzur

LIMBANG: Setiap hari persekolahan, anak-anak dan warga pendidik Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Merit di sini berdepan risiko keselamatan ketika menyeberangi jambatan gantung untuk ke sekolah.

Ini kerana jambatan sepanjang kira-kira 10 meter itu terlalu uzur, rosak dan bergoyang- goyang setiap kali dilalui oleh mereka memandangkan usianya yang sudah melebihi 10 tahun.

“Sampai bila kami harus menunggu? Sabar kami ada hadnya, apatah lagi membabitkan nyawa anak-anak kami,” demikian rintihan penduduk berhubung jambatan gantung yang mengancam keselamatan anak-anak mereka.

Menurut penduduk, jambatan berkenaan tidak diperbaiki pihak berkaitan sejak setahun lalu, walaupun keadaannya semakin uzur sehingga membimbangkan warga sekolah dan ibu bapa.

“Kami tiada pilihan, hanya jambatan uzur ini sahaja laluan yang ada untuk anak-anak kami berulang-alik ke SK Nanga Merit,” kata seorang penduduk di kawasan berkenaan yang hanya dikenali sebagai John.

Beliau berkata, lebih membimbangkan jambatan berkenaan bukan sahaja digunakan warga sekolah, tetapi juga orang ramai termasuk ibu mengandung yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah setiap hari.

John berkata, lantai jambatan itu banyak yang tercabut serta reput dan paling merisaukannya sejak akhir-akhir ini jambatan itu bergoyanggoyang seolah-olah akan runtuh pada bila-bila masa.

Jelasnya, ibu bapa dan warga sekolah terpaksa meletakkan papan sementara di atas jambatan tersebut bagi memudahkan mereka menyeberangi jambatan menuju ke sekolah.

“Jika dahulu keadaan jambatan agak tinggi, sekarang ini jambatan berkenaan sudah sama paras dengan tanah.

“Kedua-dua tiang tidak lagi terpacak di tanah, tetapi tergantung dengan mengharap wayar besi sahaja,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Caterine, 30-an, mendedahkan jambatan gantung itu turut menjadi laluan utama bagi mereka yang mengangkat batu-bata dan pasir ke sekolah.

Menurutnya, setiap hari murid-murid terpaksa melalui jambatan itu dan mereka sering berdepan bahaya kerana seawal jam 6.30 pagi mereka sudah turun ke sekolah sedangkan waktu itu memang masih gelap.

“Jambatan tersebut mana ada lampu jalan, lantai jambatan pula berlubang sana-sini, menggunakan jambatan ini memang berisiko,” katanya.

Menurutnya, ada juga penduduk yang membaiki jambatan itu sekadar yang mampu kerana bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka yang menggunakannya setiap hari.

“Saya rasa usia jambatan ini sudah melebihi 10 tahun dan perlu diperbaiki segera sebelum perkara buruk yang tidak diingini berlaku,” ujar beliau.

Caterine berharap ada pihak prihatin membaiki jambatan tersebut kerana menjadi laluan utama anak-anak penduduk di sini berulang-alik ke SK Nanga Merit.

“Walaupun belum berlaku perkara buruk namun demi keselamatan mereka sewajarnya dibaiki segera,” katanya.

Advertisement