Anda di sini

Wanita harus manfaat peluang ekonomi ditawarkan kerajaan

Advertisement

TANDA INGATAN: Toh Puan Norkiah (kiri) yang ditemani Ursula (dua kiri) dan Datin Massenah Ahmad (tiga kanan) menerima cenderamata daripada PPWS, bergambar bersama tetamu kehormat lain pada Majlis Makan Malam Sekalung Budi Sejambak Kasih malam Jumaat lalu.

MIRI: Wanita di negeri ini harus memanfaatkan sepenuhnya peluang-peluang ekonomi yang ditawarkan oleh kerajaan kepada mereka.

Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah berkata penyertaan aktif wanita akan memacu pertumbuhan ekonomi yang merupakan fokus utama kerajaan negeri sekarang.

“Dari segi ekonomi, pencapaian wanita di negeri ini membangun berbanding dekad yang lalu.

“Kerajaan terus mengiktiraf peranan penting wanita dan melantik ramai wanita  dalam kabinet negeri dan persekutuan,” jelasnya.

Toh Puan Norkiah menjelaskan perkara itu ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam Sekalung Budi Sejambak Kasih anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) kawasan Miri Bintulu di Hotel Mega malam Jumaat lalu.

Majlis juga diadakan sempena pelancaran rumah dan pusat aktiviti PPWS Bekenu yang turut dirasmikan oleh beliau pada sebelah pagi.

Beliau memuji semangat tinggi ahli-ahli PPWS dan kejayaan menubuhkan bangunan atau pusat aktiviti menggambarkan dedikasi mereka untuk bersama memperkasakan wanita dan bersama meningkatkan kualiti hidup mereka.

Selain itu, beliau turut memuji usaha gigih Penasihat PPWS Datuk Ursula Goh menggerakkan peranan PPWS selama ini.

“Saya berharap semangat kerja berpasukan akan dipraktikkan oleh semua ahli PPWS di seluruh Sarawak supaya matlamat memperkasakan wanita dalam semua bidang dapat dicapai,” jelasnya.

Terdahulu, wakil Exco PPWS Miri Bintulu yang turut mewakili Pengerusi PPWS Sarawak Datin Laila Ibrahim memberitahu, konsep kerjasama penting untuk difahami oleh ahli-ahli agar PPWS menjadi pertubuhan bukan kerajaan yang terus relevan dan diberi pengiktirafan oleh pertubuhan lain dan pihak luar.

Beliau berkata kerjasama dapat dipupuk melalui aktiviti yang dijalankan di peringkat kawasan daerah dan cawangan seperti Hari Keluarga, demonstrasi masakan, kraf tangan, acara sukan dan majlis makan malam.

“Ahli-ahli PPWS perlu menyemai sikap hormat menghormati, bertoleransi serta  bantu membantu antara satu sama lain supaya dapat menganjurkan aktiviti dan program dengan jayanya,” jelas Laila.

Bangunan PPWS Bekenu akan dijadikan sebagai pusat  perjumpaan menjalankan aktiviti dan kegiatan kesukarelaan yang memberi manfaat kepada ahli-ahli.

Pengerusi PPWS Miri Bintulu Bayah Ahmad memberitahu, selain bangunan di Bekenu, Miri turut mempunyai bangunan PPWS di Jalan Jee Foh yang telah dibina pada 2009.

Bangunan PPWS Marudi telah dibina pada 1992 sementara bangunan PPWS Bintulu pada 1995.

Majlis turut dianjurkan untuk meraikan usaha gigih ahli PPWS khasnya di kawasan Miri Bintulu bersama Toh Puan Norkiah yang juga merupakan penaung PPWS.

Majlis dihadiri oleh ahli-ahli PPWS dari Miri, Bekenu, Niah, Bintulu dan Kuching serta rakan-rakan dari Brunei Darussalam.

Advertisement