Anda di sini

Warga emas 100 tahun jaga anak OKU dibantu Yayasan FELDA

Advertisement

KUALA NERANG: Kesusahan hidup seorang warga emas, Meliah Md Diah yang berusia 100 tahun dan anak lelakinya yang merupakan Orang Kurang  Upaya (OKU) sejak 62 tahun lepas, semalam mendapat perhatian Yayasan FELDA.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Yayasan FELDA Datuk Seri Dr Emel Faizal Mohd Mokhtar berkata pihaknya turun padang bagi melihat sendiri kesusahan hidup warga emas itu dalam menguruskan anaknya yang memerlukan bantuan sepenuhnya untuk bergerak.

Beliau berkata sumbangan awal seperti keperluan makanan, pakaian serta kewangan dihulurkan bagi meringankan beban dua beranak itu.

Emel berkata menerusi program ‘Kami Prihatin’ pihaknya bercadang untuk memberi bantuan susulan seperti membaiki rumah serta menyumbang pelbagaikelengkapan lain bagi membolehkan keluarga itu dapat hidup lebih selesa.

“Bantuan ini akan berterusan dan kita akan pantau keluarga ini setiap masa. Kita juga nilai jenis bantuan susulan yang diperlukan mereka dan ia akan  diserahkan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah Meliah di Kampung Bukit Nambua, Mukim Belimbing Kanan dekat sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Terap.

Sementara itu Meliah mengucapkan terima kasih kepada Yayasan FELDA yang turun padang menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban yang terpaksadihadapinya seorang diri.

“Terima kasih lah, Mak Cik syukur dapat bantuan ni. Seronok bila orang mai (datang) bantu,” katanya.

Bernama kelmarin melaporkan Meliah yang berusia 100 tahun masih mampu membela anak lelakinya Abd Rahman Saud selama 62 tahun yang cacat anggota badan akibatdiserang sawan sejak kecil.

Anak bongsu daripada empat beradik itu memerlukan penjagaan sepenuhnya daripada ibunya untuk makan, mandi dan bergerak kerana hanya terbaring dan tidak boleh bercakap. — Bernama

Advertisement