Anda di sini

Tingkat infrastruktur sekolah pedalaman

Advertisement

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) mahu isu akses Internet dan infrastruktur sekolah diberi tumpuan khususnya di kawasan pedalaman Sarawak.

Presidennya Jisin Nyud berkata, isu-isu itu sering diutarakan bagi memastikan sekolah khasnya di kawasan pedalaman mempunyai prasarana persekolahan yang sama seperti di bandar dalam usaha memantapkan mutu pendidikan di negeri ini secara menyeluruh.

“Ini termasuk jalan dan komunikasi yang perlu dinaik taraf serta kemudahan pembelajaran pelajar di pedalaman yang perlu diberi tumpuan.

“STU telah membawa isuisu ini kepada pihak berkuasa relevan terutama kementerian dalam pertemuan dan perbincangan dengan mereka, kami harap semua isu ini dapat ditangani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Ba haru Cina STU di Ibu Pejabat STU, Jalan Song di sini semalam.

Jisin menambah, satu lagi isu adalah guru yang dibebani kerja berlebihan dengan sistem penilaian berasaskan sekolah yang baharu.

“Bagaimanapun, walaupun berdepan dengan cabaran ini, Sarawak berjaya memperbaiki keputusan dalam UPSR dan PMR dengan jumlah A yang lebih tinggi dalam pelbagai subjek terutama di sekolah luar bandar.

“Justeru, 2014 adalah satu usaha dan perjalanan transformasi dalam kalendar pendidikan kita, dengan lebih banyak peruntukan diberikan oleh kerajaan kepada Kementerian Pendidikan terutama Sarawak di mana keadaan pendidikan akan berubah,” tegasnya.

Bagaimanapun, semua usaha itu tidak akan menjadi realiti jika sekolah dan masyarakat tidak bekerjasama.

“Setiap guru mesti memiliki minat yang tinggi untuk mendidik tidak kira di mana jua ditempatkan,” ujarnya.

Pada masa sama, Jisin memberitahu bahawa STU sentiasa mendukung Pelan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang dilaksanakan supaya matlamat kerajaan untuk meningkatkan sistem pendidikan negara dapat dicapai sepenuhnya.

Hadir sama Pengerusi STU Bahagian Kuching Abdul Aziz Abdul Wahab, bekas Presiden STU William Ghani Bina dan ahli-ahli STU.

 

Advertisement