Anda di sini

STU sokong penuh guna buku teks versi digital

Advertisement

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyokong penuh penggunaan buku teks versi digital (eBuku) yang dapat diakses secara dalam talian sebagai alternatif kepada buku teks bercetak yang baharu sahaja dilancarkan Kementerian Pendidikan kelmarin.

Presiden STU Jisin Nyud berkata, ia amat bertepatan dengan arus kemodenan yang dikecapai negara pada masa ini selari dengan Pelan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

“Ia bagus, kita memang sepatutnya ke arah itu dalam abad ke-21 ini, walaupun memang ada kekangan di Sarawak dan Sabah tetapi saya percaya kerajaan akan berusaha memperbaiki semua prasarana untuk menjayakannya (eBuku).

“Kami amat mengalu-alukan usaha ini kerana ia penting untuk memastikan sistem pendidikan kita lebih maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina STU di Ibu Pejabat STU, Jalan Song di sini semalam.

“Justeru, kami mengharapkan kerajaan melakukan sesuatu dan kalau ia berjaya dilaksanakan maka sistem pendidikan kita akan terus ke hadapan,” tambahnya.

Pada masa sama Jisin turut memberitahu bahawa pelaksanaan eBuku tidak mendatangkan masalah kepada para guru untuk menggunakannya.

Kelmarin Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh memperkenalkan buku teks versi digital yang dapat diakses secara dalam talian sebagai alternatif kepada buku teks bercetak.

Beliau memberitahu bahawa buku teks digital itu yang mengandungi teks, grafik serta ciri flip (selak helaian) akan dilaksanakan secara berperingkat di semua sekolah di seluruh negara mulai tahun ini.

Idris memberitahu, pendigitalan buku teks dilakukan dalam tiga gelombang seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Bagaimanapun katanya, penggunaan buku teks bercetak masih dikekalkan buat masa ini.

 

Advertisement