Anda di sini

Permohonan naik taraf trek perlumbaan masih di peringkat perbincangan

Advertisement

KUCHING: Permohonan bagi menaik taraf kemudahan trek perlumbaan sementara yang terletak di pekarangan tempat letak kereta Stadium Negeri di sini kini masih di peringkat perbincangan.

Justeru, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berharap apabila kemudahan itu sudah ditingkatkan nanti, ia dapat digunakan sebaiknya oleh remaja dan belia dengan tidak berlumba di jalan utama di sekitar bandar raya ini lagi.

“Saya sedar akan kewujudan gejala mat rempit di kawasan saya (Petra Jaya) terutama di kawasan Masja yang merupakan ‘hot spot’ mereka.

“Pelbagai pandangan, rungutan dan cadangan telah diterima kerana gejala ini mendatangkan masalah serta berbahaya kepada penduduk sekiranya tidak diselesaikan.

“Oleh itu, gunakanlah trek perlumbaan yang ada itu dan berlumbalah dengan selamat.

“Untuk memberi lebih keselesaan kepada anda semua, saya (Ahli Parlimen) di sini akan berbincang dan mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri agar dapat meningkatkan lagi kemudahan di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Karnival Sukan Bermotor Belia Sarawak 2014 di pekarangan Masja di sini, semalam.

Dalam ucapannya, beliau yang juga Menteri Kerja Raya mengajak peminat sukan bermotor di bandar raya ini agar mewujudkan kelab atau persatuan berdaftar bagi memudahkan usaha membanteras gejala mat rempit.

Katanya melalui kelab atau persatuan tersebut, kerajaan melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) serta jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat bersama- sama berbincang menganjurkan aktiviti.

“Saya berharap peminat motosikal khasnya di Petra Jaya ini dapat menubuhkan kelab atau persatuan kerana melaluinya kita dapat berjumpa dengan pengerusi masingmasing serta mudah untuk berbincang dan bekerjasama mengadakan program.

“Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar indeks jenayah yang melibatkan golongan belia dalam perlumbaan haram di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau bercadang menganjurkan perlumbaan mengikut prosedur yang betul secara bulanan kepada remaja dan belia di sini.

“Selain berlumba, kita boleh selang-selikan dengan aktiviti lain berkaitan sukan bermotor.

“Kita boleh bawakan institut kemahiran untuk mengajar cara-cara membaiki motosikal serta teknik spray kerana banyak institut kemahiran seperti GIATMARA dapat membantu mengembangkan kemahiran yang ada.

“Bukan hanya dapat membantu meningkatkan pendapatan, kemahiran tersebut sekiranya diasah dengan betul dapat dibawa ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Turut hadir Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Wahap Abang Julai, Pengarah JBS Negeri Abdul Haris Ishak dan Pengerusi Karnival Nurasiman Simon.

 

Advertisement