Anda di sini

Kesesakan di Jalan Tanjung Kidurong tiada kesudahan

Advertisement

BINTULU: Masalah kesesakan di Jalan Tanjung Kidurong sehingga kini tiada kesudahan yang sekali gus telah membebankan banyak pihak terutama pengguna yang juga para pekerja industri di kawasan itu.

Hampir setiap hari jalan tersebut mengalami kesesakan terutama pada waktu puncak pada paginya semasa orang ramai hendak pergi dan balik kerja.

Namun pengguna jalan terbabit diingatkan supaya tenang dan bersabar dalam tempoh sukar itu.

Ini memandangkan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah memeterai perjanjian pada Oktober tahun lepas bagi pembinaan jalan alternatif lain iaitu Jalan Tun Openg di kawasan itu yang masih lagi dalam proses pembinaan oleh kontraktor Hock Seng Lee Berhad dan dijangka siap pada 2015 dengan anggaran kos RM16.489 juta dalam tempoh 20 bulan.

Selain itu, BDA turut menandatangani kontrak perjanjian bagi pembinaan infrastruktur khususnya lampu isyarat di simpang Daiken dengan kos RM4,828,543 dalam tempoh lapan bulan yang kini masih dalam pembinaan untuk mengatasi kesesakan di jalan Tanjung Kidurong itu.

Begitupun seorang pengguna yang juga pekerja kawasan industri di Kidurong yang enggan disiarkan namanya tetap meluahkan rasa kesusahan yang dihadapinya semasa melalui Jalan Kidurong itu.

“Setiap hari kesesakan di jalan itu telah melepasi tahap teruk sehingga pemandu kenderaan yang hendak balik dan pergi bekerja terpaksa menempuh masa yang panjang untuk sampai ke destinasi,” katanya semasa menghubungi Utusan Borneo di sini semalam.

Katanya bukan sahaja sesak bahkan jalan tidak rata dan keadaan jalan banyak lubang di kawasan industri di Tanjung Kidurong, menimbulkan begitu banyak tekanan kepada para pemandu yang ingin pergi dan balik kerja.

Jelasnya, kesesakan pasti akan berlaku bermula dari simpang lampu isyarat Jalan Nyabau hingga ke bulatan jalan pesisir Bintulu-Miri pada pagi dan petangnya.

Meksipun dengan kehadiran polis untuk membantu mengatasinya katanya, keadaan tetap sesak dengan kenderaan berbaris panjang di laluan itu.

“Saya sendiri telah diberi surat amaran oleh majikan apabila saya sampai di pejabat lewat di kawasan industri itu berpunca daripada kesesakan itu. Apabila tiba waktu balik pula, saya tiba di rumah lewat petang,” katanya.

Justeru katanya, dia dan semua pengguna jalan di Tanjung Kidurong amat berharap kesesakan teruk itu akan dapat diatasi segera dalam tempoh terdekat.

Advertisement