Anda di sini

DBKU belum rancang naikkan cukai taksiran

Advertisement

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) belum mempunyai perancangan untuk menaikkan kadar cukai taksiran, kata Datuk Bandarnya Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Beliau berkata sejak Kuching diiktiraf bandar raya, cukai taksiran di kawasan pentadbiran DBKU tidak pernah dinaikkan.

Untuk menggalakkan masyarakat membayar cukai taksiran menurutnya, diskaun tiga peratus diberikan kepada mereka yang membuat bayaran penuh sehingga penghujung bulan ini.

“Kami tidak pernah menaikkan kadar cukai taksiran sejak 1988.

“Malah kami beri diskaun sebanyak tiga peratus kepada mereka yang membuat pembayaran penuh,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan DBKU menaikkan kadar cukai taksiran seperti yang dilakukan Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

Akhbar ini Jumaat lepas melaporkan bahawa kadar cukai taksiran di bawah pentadbiran MPS dinaikkan sebanyak 1.5 peratus berkuat kuasa 1 Januari lepas.

Pengerusinya Datuk Tiong Thai King dipetik sebagai berkata, jumlah nilai kadar tahunan baharu ialah 27 peratus berbanding 25.5 peratus pada tahun lepas.

“Kadar baharu dikenakan atas sebab peningkatan pengurusan sisa daripada dua peratus pada tahun lepas kepada 3.5 peratus tahun ini,” ujar Tiong.

Mengulas lanjut mengenai kutipan cukai taksiran, Abdul Wahap menjelaskan, DBKU menyasarkan untuk mengutip 93 peratus cukai taksiran pada tahun ini.

“Kami yakin sasaran ini mampu dicapai selepas diskaun tiga peratus diperkenalkan kepada pembayar cukai taksiran yang menyelesaikan pembayaran secara penuh,” jelasnya.

Tambahnya, pada tahun lepas DBKU berjaya mengutip lebih kurang RM40 juta atau 91 peratus cukai taksiran.

Advertisement