Anda di sini

Riot rasa ‘dibelakangi’

Advertisement

Datuk Seri Richard Riot Jaem

Timbalan Presiden SUPP kesal jika benar Chin temui Ahmad Zahid

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Richard Riot Jaem kesal dengan tindakan Tan Sri Peter Chin jika benar Presidennya itu mengadakan perjumpaan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tanpa memaklumkan beliau.

Bercakap pada sidang media di sini semalam, Riot berkata SUPP bukan dimiliki oleh individu tertentu, justeru sebagai Timbalan Presiden, beliau berhak untuk mengetahui serta campur tangan dalam hal-hal yang membabitkan parti.

“Saya tidak pasti sama ada beliau (Peter Chin) memang ada berjumpa dengan Ahmad Zahid bersama Timbalan Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing bagi memujuk beliau (Ahmad Zahid) agar SUPP tidak dibatalkan pendaftarannya dan bergabung dengan SPDP.

“Jika perjumpaan ini benar-benar berlaku, saya amat kecewa dan berasa dibelakangi kerana saya adalah Ahli Parlimen, Timbalan Presiden dan Menteri Penuh yang telah dipilih atas tiket SUPP,” katanya kesal.

Ditanya mengenai dakwaan penggabungan dengan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu, Riot yang merupakan Ahli Parlimen Serian berkata, ia sekadar idea peribadi pihak tertentu dan bukannya daripada parti secara keseluruhannya.

Meskipun sedih dengan perkara itu, Riot tetap menyatakan kesetiaannya terhadap SUPP dan tidak akan berganjak daripada parti sehingga menerima keputusan muktamad daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai status parti.

Dalam pada itu, satu sumber yang boleh dipercayai kelmarin melaporkan Chin dan Tiong telah berjumpa dengan Ahmad Zahid di Putrajaya bagi memujuk beliau agar tidak membatalkan SUPP.

Pada perjumpaan itu, Chin dan Tiong turut dikatakan mencadangkan penggabungan antara SUPP dan SPDP jika SUPP tidak dibatalkan pendaftarannya dengan Tiong akan mengetuai Sayap Cina.

Sumber tersebut bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Tiong terlibat dalam kemelut SUPP atas keizinan SPDP atau inisiatif beliau sendiri.

Bagaimanapun, Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom dan Setiausaha Agungnya Datuk Nelson Balang Rining gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Manakala, salah seorang pemimpin kanan SPDP yang berjaya dihubungi berkata, jika perjumpaan tersebut benar-benar berlaku, ia merupakan sesuatu yang tidak baik bagi parti.

Pemimpin kanan tersebut malah mengingatkan Tiong bahawa beliau seharusnya tahu prosedur dan perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku dan perlu melalui parti terlebih dahulu.

Advertisement