Anda di sini

Pelbagai inisiatif bantu nelayan

Advertisement

SIMBOLIK: Kelihatan Razi mengecat rumah salah seorang nelayan pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Saribas, baru-baru ini.

KUCHING: Kerajaan mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pendapatan nelayan di negara ini melalui peruntukan yang disalur kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan penubuhan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, antara bantuan yang disediakan ialah bot, peralatan menangkap ikan, subsidi diesel, elaun, kebajikan, bantuan rumah dan pembinaan jeti.

Justeru, katanya, agensi seperti LKIM dan PNK perlu memainkan peranan aktif agar bantuan tersebut sampai kepada sasarannya kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) amat mengambil berat tentang perkara itu.

“Bantuan-bantuan tersebut harus sampai kepada kelompok nelayan sungai di kawasan Saribas ini yang mencari sumber pendapatan di muara dan hulu sungai.

“Kita tahu bahawa sumber ikan di sepanjang Sungai Saribas, Rimbas dan Layar masih mempunyai sumber yang banyak untuk diterokai oleh nelayan.

Ini kerana tahap pencemaran sungai masih rendah di sungai-sungai terbabit yang kaya dengan sumber,” katanya ketika menghubungi pemberita semalam.

Terdahulu, Razi menghadiri program Pemimpin Bersama Rakyat dari kampung Supa, Kampung Medang, Kampung Buda, Kampung Mangut, Kampung Tui dan Kampung Tanjung Assam di Dewan Kampung Supa, Saribas.

Menurut Razi, walaupun sumber ikan yang pelbagai adalah mengikut musim, tetapi nelayan di sini dapat beroperasi aktif sepanjang tahun melebihi 120 hari.

“Antara ikan yang popular di sungai-sungai ini adalah ikan panjang, ikan palo, ikan buntal, ikan bulu, udang galah, siakap sungai termasuk terubuk.

“Adalah diharapkan melalui pelbagai peruntukan dana, maka hasil tangkapan dapat ditingkatkan di kalangan nelayan sungai ini,” jelasnya.

Razi menjelaskan, program yang hadiri oleh kira-kira 300 nelayan dari kawasan Saribas tersebut turut diisi dengan taklimat daripada LKIM dan PNK Rimbas Layar.

Menurutnya lagi, program tersebut juga julung kali diadakan khusus untuk para nelayan di situ.

“Sehingga kini, terdapat 2,000 nelayan yang kebanyakannya nelayan sungai di Saribas yang masih bergantung sepenuhnya daripada sumber dari Sungai Saribas.

“Oleh itu, saya berharap lebih banyak lagi agensi yang berkaitan turut menyediakan program bantuan nelayan seperti peralatan menangkap ikan kepada nelayan di kawasan Saribas ini,” ujarnya.

Turut hadir pada program tersebut ialah Penolong Pengarah LKIM Sarawak Ahim Noh, Pegawai LKIM Wilayah Satu Mohd Rizal Saari dan Pengerusi PNK Rimbas Layar Sahariya Tahot.

Advertisement