Anda di sini

Mayat budak perempuan hilang ketika mandi sungai ditemui

Advertisement

BINTULU: Mayat Wendy Kusmani, 12, yang dilaporkan hilang semasa mandi-manda dengan kawan-kawannya di Sungai Tatau, Isnin lalu ditemui sekitar jam 5 pagi semalam di lokasi sama kali terakhir kanak-kanak per­empuan itu dilihat.

Mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai itu yang ter­letak di belakang rumahnya di Kampung Dagang Tatau sekitar jam 5 petang Isnin lalu serta difahamkan telah dibawa oleh arus deras.

Ketua Polis Daerah Ta­tau, DSP Harun Jaafar semasa dihubungi berkata, mayat mangsa ditemui tera­pung di lokasi sama mangsa hilang.

“Mayat mangsa ditemui oleh ahli keluarga mangsa dan beberapa penduduk pada jam 5 pagi ini (semalam),” katanya sambil menambah operasi SAR telah dihentikan selepas penemuan mangsa.

Terdahulu pasukan men­cari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan melibatkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Per­tahanan Awam Malaysia (JPAM), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS) dan beberapa penduduk kampung termasuk kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah Tatau untuk melakukan kerja-kerja men­cari mangsa selama dua hari di sungai itu.

Sementara itu, selepas ditemui mayat mangsa di­hantar ke bilik mayat Hospital Bintulu di sini untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, Harun mengingatkan ibu bapa agar mengambil langkah kesela­matan tambahan khususnya apabila anak-anak mereka mandi atau bermain di sun­gai.

“Mandi di sungai amat biasa bagi kebanyakan penduduk di sini yang tinggal di sepanjang tebing sungai tetapi keselama­tan anak-anak jangan diambil ringan,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau mengucapkan penghargaan kepada semua agensi yang ter­libat dalam operasi SAR yang berakhir semalam, khususnya kepada penduduk kampung yang memberikan kerjasama baik selama dua hari operasi tersebut diadakan.

Advertisement