Anda di sini

Penganggur tidak mengaku salah dera Nur Syafiqah Adawiyah

Advertisement

DITUDUH: Rabiatul (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret Dungun semalam atas tuduhan membuat laporan palsu mengenai kehilangan anaknya, Nursyafiqah Adawiyyah Abdullah, 2, yang kemudiannya ditemui mati dalam sebuah rumah kosong di perumahan Taman Permint, Sri Paka, Dungun pada 21 Jan lalu. — Gambar Bernama

DUNGUN: Seorang penganggur Soffian Hadie Mohd Nor, 35 tahun, semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan mendera dan mengabaikan kanak-kanak berusia dua tahun di bawah jagaannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Nur Syafiqah Adawiyah Abdullah di sebuah rumah kosong, Lot 8428, Taman Perumahan Seberang Paka Fasa 2, Paka kira-kira jam 3.20 petang, 22 Jan lepas.

Bagi pertuduhan itu, Soffian yang mempunyai hak jagaan terhadap kanak-kanak berkenaan, yang telah meninggal dunia, boleh dihukum di bawah Akta Kanak-kanak 2001 dengan hukuman denda sehingga RM20,000 atau hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh yang turut mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan tidak diwakili peguam, tidak ditetapkan sebarang jaminan oleh Majistret Hazwanie Husain Bustari.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah memberitahu mahkamah bahawa mereka masih menunggu laporan forensik dan kimia terhadap Soffian, bagi menyabitkannya kepada kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, atas tuduhan membunuh Nur Syafiqah.

Soffian juga menghadapi satu lagi tuduhan gagal menunjukkan kad pengenalannya apabila diminta oleh pihak polis ketika ditahan di Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Paka pada pukul 1.30 tengah hari, 21 Jan lalu.

Pertuduhan dilakukan di bawah peraturan 25(1)(n) Pendaftaran Negara 1990.

Sementara itu, ibu kandung Nur Syafiqah, Rabiatul Adawiyyah Mamat, 28, turut dihadapkan di mahkamah yang sama kerana didakwa membuat laporan palsu berhubung kehilangan kanak-kanak itu di Balai Polis Paka pada jam 12.01 tengah hari 18 Jan lalu.

Dia mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Hazwanie menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin tetapi tertuduh gagal membayar jaminan itu.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac. — Bernama

Advertisement