Anda di sini

4 kes langgar Skim Kawalan Harga Musim Perayaan TBC

Advertisement

KUCHING: Sebanyak empat kes dicatatkan sepanjang tempoh Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) yang bermula 26 Januari lalu, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Stanley Tan.

Beliau memberitahu, empat kes yang dicatatkan itu kerana peniaga gagal menggunakan tanda harga berwarna merah jambu pada barang kawalan di bawah skim tersebut.

Menurutnya, sepanjang tempoh pelaksanaan skim kawalan itu yang bermula 26 Januari lalu, pihaknya telah memeriksa 2,887 peniaga di seluruh negeri.

“Secara umum tahap pematuhan peniaga amat memuaskan dan tiada aduan diterima setakat ini.

“Jumlah pemeriksaan yang dijalankan bermula 26 Januari lalu hingga kini (semalam) adalah sebanyak 2,887 premis dan empat kes dicatatkan kerana gagal menggunakan tanda harga merah jambu pada barang kawalan di bawah skim ini,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Stanley berkata, setakat ini kompaun yang berjaya dikutip adalah sebanyak RM400 melibatkan tiga kes di Miri dan satu di Kapit.

Justeru, beliau menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga di negeri ini tidak menaikkan harga barang terkawal di bawah skim itu.

Baru-baru ini KPDNKK melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan TBC yang berkuat kuasa selama 15 hari bermula 26 Januari lalu.

Dalam skim itu sebanyak 13 barang terkawal iaitu ayam, telur, kubis bulat, bawang putih, ikan bawal putih, udang dan babi.

Pelaksanaan skim itu adalah untuk menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah semasa musim perayaan selain merupakan langkah kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di seluruh negara.

Aduan boleh dilakukan secara terus dengan menghantar e-mel ke alamat: [email protected] atau hubungi KPDNKK Sarawak di talian 082-466012 atau hantarkan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip KPDNKK ADUAN ke 15888.

Advertisement