Anda di sini

Warisan kota menggamit nostalgia sambutan TBC

Advertisement

UNTUK KAMU: Dua juruhebah radio Minnal FM, Theyvekgan Thamaraichelvan (kiri) dan Buvana Veramohan (dua kiri) mengedarkan limau mandarin kepada orang ramai sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

CANTIK: Pelbagai hiasan warna-warni yang dipenuhi dengan lampu disediakan untuk merayakan Tahun Baharu Cina yang disambut pada 31 Januari ini di Kuil Fo Guang Shan Dong Zen di Kuala Langat, semalam. — Gambar Bernama

Kerlipan cahaya menyinari ibu kota menandakan Malaysia bersiap sedia mahu rai Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR: Kelipan tanglung merah pelbagai saiz menghiasi gedung beli-belah, hotel-hotel terkemuka, restoran malah di kawasan sekitar ibu kota menandakan rakyat Malaysia sedang bersiap untuk meraikan satu lagi perayaan utama negara iaitu Tahun Baharu Cina.

Namun di Jalan Petaling di sini yang dikenali sebagai ‘China Town’, kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina bukan sahaja membabitkan dekorasi tanglung-tanglung dan hiasan merah, malah turut diisi dengan acara-acara sampingan yang penuh tradisional.

Bertemakan ‘Senyuman dan Haruman Tahun Baharu Cina’, Petaling Street Art House’menganjurkan pelbagai aktiviti sempena sambutan Tahun Kuda oleh masyarakat Cina bermula seawal 4 Jan sehingga 15 Feb di sekitar Jalan Petaling dan Jalan Sultan.

Menurut pengasas Petaling Street Art House, Chong Keat Aun, antara aktiviti yang diadakan di sekitar kawasan itu ialah persembahan opera Cina, orkestra, ‘street art performance’ dan pertunjukan seni kaligrafi.

Katanya, aktiviti-aktiviti yang diadakan di sepanjang Jalan Sultan dan Jalan Petaling bertujuan mengimbas kembali sejarah kedatangan masyarakat Cina ke negara ini, selain memperingatkan kepada golongan muda tentang gaya hidup tradisional semasa zaman nenek moyang mereka.

“Pada masa sekarang sudah tidak ramai golongan muda yang meraikan Tahun Baharu Cina di jalan-jalan lama bagi mengenangkan kembali bagaimana sambutannya secara tradisional oleh veteran-veteran yang mana sudah ramai yang tidak mengamalkannya.

“Selain memperingati tradisi nenek moyang yang diwarisi sejak turun-temurun, kami juga ingin memberikan kesedaran kepada warga kota untuk menghargai bangunan-bangunan bersejarah yang semakin pupus dek pembangunan, “ katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya, beberapa bangunan lama yang terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan Projek Laluan 1 Aliran Transit Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang, membuatkan beliau serta penduduk di sekitarnya lebih menghargai detik-detik menyambut perayaan tradisional masyarakat Cina di Jalan Sultan dan Jalan Petaling.

“Penduduk-penduduk di sini khususnya yang berniaga sejak beberapa dekad yang lalu sangat menghargai saat-saat mereka berada di sini kerana di sinilah tempat mereka membesar,” katanya.

Menurut Chong, masyarakat Cina menyambut Tahun Baharu selama 15 hari bermula pada hari pertama sehinggalah ke hari ke-15 yang dikenali sebagai ‘Chap Goh Meh’.

“Tahun ini kami menyambut sebulan lebih awal sehinggalah hari ke-15 kerana ingin memberi peluang kepada warga kota serta pengunjung yang datang ke sekitar Jalan Petaling dan Jalan Sultan merasai kemeriahan sambutan di samping memperkenalkan budaya masyarakat Cina menyambut pelbagai perayaan secara tradisional,” katanya.

Chong berkata aktiviti-aktiviti sedemikian bukan sahaja mendedahkan kepada golongan muda tentang asal usul nenek moyang mereka malah juga dapat menarik perhatian pelancong asing.

“Jalan Petaling menjadi tumpuan utama kebanyakan masyarakat Cina kerana ia merupakan nostalgia kebanyakan golongan veteran yang pernah mengunjunginya dan kedai-kedai lama di sini masih kekal selama beberapa puluh tahun.

“Selain persembahan, kami juga turut mengadakan ceramah mengimbau kisah lama di Jalan Petaling dan Jalan Sultan dengan menjemput penduduk-penduduk yang tinggal lebih daripada 40 tahun menceritakannya kepada pengunjung yang datang,” katanya.

Katanya, selain itu juga, demonstrasi membuat kuih-muih tradisional mengikut loghat masyarakat Cina juga turut diadakan.

“Ini bagi menggalakkan mereka mengenali lebih dekat tentang cara penyediaan pelbagai jenis kuih-muih tradisional serta memahami budaya masyarakat Cina mengikut loghat

“Hal ini kerana pelbagai loghat dalam masyarakat Cina mempunyai budaya yang berlainan walaupun berasal dari etnik yang sama, “ katanya.

Menurut Chong, selain sambutan Tahun Baharu Cina, setiap bulan Petaling Street Art House akan menjemput artis-artis tempatan dan penari dari Akademi Seni, Budaya dan Warisan (Aswara) untuk persembahan tradisional.

“Selain persembahan tradisional Cina, kami juga turut ada persembahan dari etnik lain seperti tarian India, Orang Asli dan Melayu bagi mencerminkan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Kami juga menjemput penyair-penyair Melayu bagi sesi deklamasi sajak berkenaan dengan sejarah Jalan Sultan dan Jalan Petaling,” katanya.

Katanya, sementara masih ada bangunan-bangunan lama yang belum dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan MRT, warga kota seharusnya menghargai kewujudannya kerana ia menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah.

“Hal ini kerana bangunan-bangunan lama ini sudah tidak banyak dikekalkan di seluruh negara dan kebanyakan daripadanya terpaksa dirobohkan kerana terpaksa memberi laluan kepada pembangunan.

“Oleh itu, sementara bangunan-bangunan itu masih ada, kami mengadakan pelbagai aktiviti untuk memperingati sejarah kewujudannya dan memberi kesedaran kepada golongan muda tentang pentingnya mempertahankan warisan kota,” katanya. — Bernama

Advertisement