Anda di sini

PBB, KSK Satok bergabung anjur pelbagai program sukan

Advertisement

SUMBANGAN IKHLAS: Iskandar (kanan) menyerahkan jersi tajaan FTSD kepada wartawan sukan Utusan Borneo Harry Ilias di pejabat beliau di Kuching semalam.

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N8 Satok akan bekerjasama dengan Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok dalam menganjurkan pelbagai program sukan dan riadah sepanjang 2014.

Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda PBB Satok Iskandar Sharkawi berkata program pertama yang akan dianjurkan adalah Kayuhan Mesra Warisan 2014 pada 23 Februari depan bertempat di Padang Merdeka.

“Program ini bertujuan menggalakkan warga Kuching menyertai aktiviti riadah sambil mempromosikan tempat pelancongan di sini dengan berbasikal,” katanya semasa majlis penyerahan jersi rasmi pasukan Utusan Borneo FC semalam.

“Ia juga bersempena sambutan Tahun Melawat Sarawak 2014 yang sedang rancak dilaksanakan.”

Katanya, mereka yang berminat untuk turut serta perlu mengemel nama, nombor telefon dan kad pengenalan ke ksksatok@gmail.

com dengan segera.

Menurut Iskandar, pihaknya juga bercadang untuk menganjurkan sukan rakyat pada bulan Mac atau April depan bagi menghidupkan semula sukan-sukan tradisional lama seperti seremban, congkak dan sebagainya.

“Kita sedar remaja pada zaman ini lebih berminat kepada permainan komputer ataupun tablet. Justeru, dengan menganjurkan program tersebut, kita dapat mendekatkan para remaja dengan sukan rakyat agar ia tidak hilang ditelan arus kemodenan zaman.

“Selain itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan antara warga tempatan di sini,” katanya.

Katanya, KSK Satok juga akan menganjurkan Kejohanan Futsal Terbuka Petra Jaya yang akan diadakan pada November.

Sejak diadakan dua tahun lepas katanya, kejohanan tersebut menerima sambutan yang cukup memberangsangkan terutama dari warga sekitar Kuching, Samarahan termasuk pelajar IPT di sini.

“Pada tahun lalu, kejohanan ini mencatat penyertaan sebanyak 100 pasukan. Ia sambutan yang cukup baik dan kita akan meneruskannya pada tahun ini,” katanya.

Katanya, pertandingan akan dibahagikan kepada beberapa kategori dengan tumpuan pastinya bagi merebut Piala Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Piala Datuk Fadillah Yusof.

“Kita juga bercadang untuk menganjurkan Liga Bolasepak Remaja Kuching bermula September hingga Disember bagi memberi platfrom kepada pemain- pemain muda mengetengahkan bakat mereka.

“Kami masih mencari rakan penaja bagi menjayakan liga ini dan mereka yang berminat dialu-alukan untuk turut serta.”

Pada masa sama, Iskandar turut menyeru para ibu bapa menghantar anak-anak mereka menyertai akademi bola sepak First Touch Soccer Development (FTSD) yang berpangkalan di Petra Jaya.

Beliau yang juga penasihat FTSD menjelaskan akademi tersebut mempunyai keistimewaannya tersendiri di mana ia turut menerima pelatih yang tidak mempunyai kemahiran dalam permainan bolasepak.

“Matlamat utama FTSD adalah melahirkan lebih ramai pemain bola sepak tempatan yang berkaliber dan berkualiti serta dapat mengharumkan nama negeri mahupun negara di peringkat tertinggi,” katanya.

Advertisement