Anda di sini

ATM tidak kesan kejadian tembakan di perairan Laut China Selatan

Advertisement

MESYUARAT: Zulkifeli (tiga, kanan) bersama Khalid (dua kiri) ketika menghadiri Mesyuarat Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 2014 di Bukit Aman di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setakat ini tidak mengesan sebarang kejadian tembakan yang didakwa dilepaskan kapal Armada China ketika melakukan rondaan di perairan Laut China Selatan baru-baru ini.

Panglimanya Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata pihaknya tidak menerima laporan mengenai kejadian itu, seperti yang dilaporkan agensi berita luar negara.

“…dan setahu kami, tidak ada aktiviti angkat sumpah beserta tembakan ke udara oleh pegawai dan tentera yang bertugas di atas Armada sepertimana yang dilaporkan itu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Komunikasi Bersama di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Bukit Aman di sini semalam.

Beliau berkata sekiranya kejadian tembakan itu benar berlaku, pihaknya tentu akan membuat protes melalui Kementerian Luar.

Mengulas perkara sama, Khalid berkata khabar angin seperti itu dikhuatiri akan menjejaskan hubungan dua hala.

“Rondaan seperti itu oleh negara-negara luar di perairan antarabangsa dianggap sebagai rondaan biasa dan ia tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara,” katanya.

Tiga Armada perang China terdiri daripada sebuah kapal Amfibia bagi tujuan pendaratan, ‘Changbaishan’ dengan diiringi dua kapal pemusnah, melakukan rondaan di kawasan perairan James Shoal yang terletak 80km dari sempadan Sarawak, yang turut dituntut Malaysia. — Bernama

Advertisement