Anda di sini

Tiada tempoh lanjutan pendaftaran BR1M

Advertisement

Kira-kira 200,000 pemohon baharu yang layak belum mengemukakan permohonan

NUSAJAYA: Kementerian Kewangan tidak bercadang melanjutkan tempoh pendaftaran permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 3.0) yang akan berakhir 31 Jan ini.

Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Maslan berkata mereka yang belum mendaftar atau mengemas kini akaun perlu menggunakan tempoh beberapa hari ini untuk berbuat demikian.

“Tidak ada cadangan setakat ini daripada kementerian untuk melanjutkan tempoh pendaftaran BR1M. Rakyat Malaysia perlu disiplin dan tidak berlengah-lengah menunggu sehingga ke saat akhir,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar Pemantapan Ekonomi Nasional (PENA) peringkat negeri di Kota Iskandar di sini semalam.

Katanya sehingga kini kira-kira 200,000 atau 20 peratus daripada keseluruhan 940,000 pemohon baharu yang layak menerima BR1M 3.0 masih belum mengemukakan permohonan mereka.

Mereka boleh mengemukakan permohonan melalui borang atau dalam talian, katanya.

Ahmad berkata sehingga 26 Jan lepas, 80 peratus atau 6.2 juta daripada 7.7 juta yang menerima BR1M 2.0 telah mengemas kini akaun simpanan mereka, manakala selebihnya masih belum berbuat demikian.

Katanya, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memerlukan tempoh dua minggu selepas tarikh tamat pendaftaran BR1M 3.0 untuk mengemas kini perincian permohonan sebelum dapat memulakan proses pemberian BR1M.

Pemberian BR1M 3.0 kali ini akan melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM4.5 bilion oleh kerajaan, kata Ahmad.

Mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar 6 peratus yang akan dilaksanakan pada 2015, beliau berkata ia merupakan sistem percukaian yang akan meninggalkan kesan positif kepada ekonomi negara berbanding Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) sebelum ini.

Pada tahun pertama pelaksanaan GST nanti, katanya negara akan memperoleh sumber pendapatan tambahan sebanyak RM3.8 bilion yang akan disalurkan untuk tujuan pembangunan.

Pendapatan tambahan itu akan meningkat kepada RM9 bilion pada tahun kedua pelaksanaan GST, kata Ahmad.

Pelaksanaan GST pada 2015 sebagaimana diumumkan ketika Bajet 2014 tahun lepas katanya, turut akan meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 0.3 peratus pada tahun pertama pengenalannya.

Selain itu, katanya, pengenalan GST juga akan mengurangkan peratusan “Black Ekonomi” dalam negara yang berada pada kadar 30 peratus, selain mengelakkan usaha melarikan diri daripada membayar cukai.

GST akan menggantikan cukai jualan antara 5 hingga 10 peratus dan cukai perkhidmatan 6 peratus yang dikatakan mempunyai kelemahan seperti cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat yang menjadi punca harga sesetengah barangan dan perkhidmatan menjadi mahal.

Mengenai seminar PENA, Ahmad berkata, setakat ini kementeriannya telah menganjurkan 12 seminar terbabit di seluruh negara bagi memberi penjelasan tentang isu-isu ekonomi negara. — Bernama

Advertisement