Anda di sini

Zaki akan rujuk arahan berkaitan penubuhan Platun Media dalam ATM

Advertisement

UJI KETEPATAN: Zaki (dua kiri) turut serta dalam pertandingan menembak sempena Hari Bersama Media Peringkat Satu Divisyen di Kem Semenggo semalam.

KUCHING: Panglima Satu Divisyen Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar akan merujuk semula dasar dan arahan terkini berkaitan penubuhan Platun Media dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau memberitahu, sebelum ini terdapat dasar untuk mewujudkan platun itu namun ia belum ditubuhkan di bawah Satu Divisyen.

“Saya tidak pasti masih ada atau tidak Platun Media di Kuala Lumpur dan kalau ada permintaan saya akan angkat (untuk ketengahkan) dan buat permohonan untuk kita di sini.

“Saya akan merujuk dulu dasar dan kalau ia dibenarkan, ada sokongan dan penyertaan (daripada kalangan pengamal media) mengapa tidak untuk kita melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perancangan untuk menubuhkan Platun Media khasnya di Sarawak seperti mana yang diuar-uarkan sebelum ini.

Platun Media melibatkan pengamal media cetak dan elektronik daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang berperanan memberi maklumat tepat serta mendedahkan kepada masyarakat terhadap peranan dan tugas harian Angkatan Tentera Malaysia.

Mengulas mengenai program Hari Bersama Media Peringkat Satu Divisyen selama dua hari yang bermula 25 Januari, Zaki berkata ia bertujuan menghargai pengamal media di negeri ini.

Selain itu, katanya ia juga dapat memberi peluang kepada media merasai aktiviti harian yang dijalankan oleh warga tentera Satu Divisyen.

“Diharap acara ini akan merapatkan hubungan warga tentera khususnya 1 Div dan rakan media supaya keakraban kita terus terjalin,” ujarnya.

Advertisement