Anda di sini

NGO perlu ringan tulang bantu mangsa banjir

Advertisement

BANJIR: Sahdan (kiri), Hasbi dan Dr Rahman sempat melawat SK Lubuk Tekuruk yang masih dilimpahi air, semalam.

Harus bantu bukan sahaja kewangan tetapi pelbagai bentuk bantuan bagi ringan penderitaan mangsa

LIMBANG: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu ringan tulang dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini tanpa bergantung sepenuhnya  kepada agensi kerajaan semata-mata.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata NGO harus bersama-sama membantu bukan sahaja dari segi kewangan tetapi dalam pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan penderitaan mangsa banjir.

Beliau berkata kerjasama dan penglibatan NGO dalam sebarang bentuk sumbangan amat penting ketika beberapa kawasan di sini dilanda banjir berikutan hujan turun sejak kebelakangan ini.

“Kita mengalu-alukan kerjasama pihak NGO untuk sama-sama membantu mangsa banjir di daerah ini bukan sahaja dari segi kewangan malah pelbagai bantuan dan maklumat yang diperlukan,” katanya kepada pemberita pada lawatan banjir di beberapa kampung pesisir Sungai Limbang di sini semalam.

Turut serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Residen Pembangunan Selamat Jati, Pegawai Daerah Limbang, Hamdiah Bakir,  wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian William Badak, Pegawai Khas Ahli Parlimen Limbang Mohamad Abu Bakar, Pegawai Penerangan Daerah Limbang Linda Padan dan agensi kerajaan lain.

Hasbi berkata Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah turut menjalankan peranan dengan baik sepanjang menjalankan usaha membantu mangsa banjir yang terjejas di sini termasuk mengaktifkan bilik operasi banjir selain pusat pemindahan banjir.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan kerjasama yang ditunjukkan agensi kerajaan terlibat seperti Pejabat Residen dan Daerah, JKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), kastam dan agensi kerajaan lain.

Dalam pada itu beliau mahu pihak sekolah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk kampung terutama di kawasan pesisir sungai agar berjaga-jaga dengan keadaan air banjir dan air deras dengan menitikberatkan keselamatan masing-masing.

“Kita perlu lebih berwaspada, selain air deras, keadaan air pasang juga boleh menyebabkan banyak buaya merayap ke darat, aspek keselamatan perlu sentiasa dititikberatkan,” katanya.

Jelasnya mangsa banjir juga diminta melaporkan sebarang maklumat mengenai sebarang kerosakan tanaman dan pertanian yang dihadapi akibat musibah banjir yang berlaku kepada Pejabat Daerah bagi persiapan sekiranya ada bantuan disalurkan.

Sementara itu tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati kebanyakan kampung dan sekolah pesisir sungai masih digenangi air berikutan air bah  setinggi tiga kaki ditambah lagi dengan hujan lebat sejak kebelakangan ini.

Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Telahak, Kampung Lubuk Segantang, Lubuk Piasau, Binjai, Ipai dan kampung-kampung berdekatan.

Dua sekolah rendah iaitu SK Lubuk Tekuruk dan SK Telahak masih dilimpahi air menyebabkan pihak sekolah tidak dapat menjalankan aktiviti pembelajaran sehingga keadaan air menjadi surut.

Timbalan Ketua Pemuda PBB Bukit Kota Sahdan Mohidin berkata sebanyak 45  rumah membabitkan 60 keluarga  di Kampung Telahak terlibat dengan musibah banjir yang dialami sejak lapan hari lalu.

Sementara itu Ketua Kampung Lubuk Sigantang Diris Momin berkata 38 rumah membabitkan 187 mangsa turut terjejas akibat banjir sehingga menyebabkan kampung itu terputus hubungan dengan kawasan luar sejak lima hari lalu.

Katanya penduduk hanya menggunakan jalan sungai ke bandar dan sesetengah penduduk menggunakan laluan Kampung Ipai ke bandar.

Terdahulu Hasbi turut menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa banjir di kawasan Pangkalan Madang, Pangkalan Jawa dan beberapa kawasan yang terjejas di Batu Danau.

Advertisement