Anda di sini

DBKU akan terus anjur acara-acara besar: Wahap

Advertisement

Tetap diadakan pada masa akan datang meskipun menerima kritikan daripada sesetengah pihak 

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan terus menganjurkan acara-acara besar pada masa akan datang meskipun menerima kritikan daripada sesetengah pihak.

Itu pendirian yang ditegaskan oleh Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai yang menjelaskan bahawa ia adalah selaras dengan usaha DBKU bagi menyampaikan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti terhadap pembangunan bandar raya ini.

“Hasrat DBKU ialah ingin membawa masyarakat untuk bersama-sama dalam pembangunan bandar raya.

“Justeru, saya berharap warga kota Kuching dan kawasan sekitarnya akan terus berganding bahu dan menyokong pihak DBKU dalam meneruskan usaha murni ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pada Majlis Penyampaian Hadiah Utama E-Peraduan sempena Majlis Agenda DBKU 2014 di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai beberapa kritikan awam menerusi laman sosial Facebook terhadap Majlis Agenda DBKU 2014 di mana ada yang menyifatkannya sebagai satu pembaziran, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan sebagainya.

Menjelas lanjut, Abdul Wahap berkata DBKU membelanjakan lebih RM100,000 untuk menganjurkan acara tersebut.

Namun demikian, katanya acara tersebut turut menerima tajaan daripada pelbagai pihak.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam agar memberi kritikan yang membina terhadap mana-mana acara DBKU agar ia dapat ditambah baik untuk manfaat masyarakat umum.

“Selagi menjadi datuk bandar, saya akan tetap melakukan apa yang terbaik kepada masyarakat.

“Untuk itu, saya berharap akan menerima cadangan yang baik daripada orang ramai kelak agar acara-acara DBKU akan dapat memberi impak yang berkesan kepada semua pihak,” katanya.

Untuk itu, beliau menambah bahawa cadangan boleh diajukan kepadanya menerusi surat atau Facebook beliau iaitu Datuk Bandar Kuching Utara.

Dalam pada itu, Abdul Wahap berkata penganjuran Majlis Agenda DBKU pada tahun depan dijangka diadakan di Semariang.

Advertisement