Anda di sini

NCR hanya untuk penduduk peribumi: Masing

Advertisement

JULAU: Adalah salah bagi mana-mana penduduk bukan peribumi untuk menukar statusnya menjadi penduduk peribumi semata-mata kerana mahu membeli tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kata Menteri Pembangunan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Jemut Mas­ing semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu.

“Kita mempunyai jawatankuasa kabinet negeri yang memantau tanah-tanah NCR bagi mengelak berlakunya sebarang urus niaga haram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ma­jlis rumah panjang baharu Rumah Seli Nyambong yang mempunyai 16 pintu di Ulu Lioh dekat sini, semalam.

Dengan diiringi Ahli Parli­men Julau, Datuk Joseph Salang, Masing turut meninjau projek bekalan air dan tenaga di rumah panjang itu.

“Bagaimanapun, jika mereka berkahwin secara sah dengan pen­duduk peribumi, ia tidak mengapa. Itu adalah meritnya.

“Tetapi, jika mereka menukar status hanya untuk mendapatkan tanah NCR, ini adalah salah dan tidak boleh digalakkan.

“Saya berharap pihak berkenaan seperti Jabatan Tanah dan Survei, Pejabat Daerah atau Pejabat Resi­den sedar mengenai tindakan atau cubaan seperti itu,” katanya.

Masing turut mengingatkan para pemilik tanah NCR bahawa mereka kini diberi pilihan membangunkan tanah itu dan boleh mendapatkan bantuan FELCRA Berhad untuk berbuat demikian. Sementara itu, Salang yang juga Pengerusi Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak, ber­kata jumlah siling pinjaman untuk membina rumah panjang di Sarawak perlu dinaikkan.

Beliau berkata, pinjaman RM10,000 yang dibenarkan kepada setiap keluarga sekarang adalah tidak mencukupi.

Ini kerana harga bahan binaan seperti kayu dan simen telah men­ingkat, katanya.

“Tambahan pula bila kita dapat pinjaman, kita hanya dapat bahan binaan daripada konraktor yang di­lantik, bukannya mendapat tawaran lain yang lebih kompetitif bagi bahan binaan,” katanya. — Bernama

Advertisement