Anda di sini

49 kes menyalahi undang-undang KPDNKK di Sri Aman pada 2013

Advertisement

SRI AMAN: Sebanyak 49 kes menyalahi undang-undang di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sepanjang tahun lalu dikenal pasti berlaku di sini.

Ketua PPDNKK Sri Aman, Wan Roslan Esmanto Wan Johari berkata semua kes itu  melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP), Akta Kawalan Bekalan 1961, Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Sebanyak 19 kes daripada 49 kes tersebut didapati melanggar AKHAP, empat kes bagi Akta Kawalan Bekalan 1961, 12 kes bagi Akta Perihal Dagangan 2011, 13 kes bagi Akta Timbang dan Sukat 1972 dan satu kes bagi Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Kami bertindak mengenakan kompaun terhadap 10 kes terbabit dengan 39 kes lagi kini masih dalam proses siasatan,” katanya di sini semalam.

Wan Roslan menasihatkan para peniaga, pengilang dan pengedar di sini agar mematuhi undang-undang yang diperuntukkan KPDNKK demi mengelak dikenakan tindakan terus ke mahkamah dengan pelaksanaan Ops Harga 2 sekarang.

Menurutnya, pemeriksaan Ops Harga 2 terhadap pengilang/pengeluar, pembekal, kedai runcit, pasar raya, hypermarket, pasar tani dan pasar basah di sini dari semasa ke semasa.

“Ops Harga 2 merangkumi pemeriksaan terhadap barangan kawalan, makanan, kegunaan rumah dan makanan sedia masak termasuk minuman dihasilkan semua pihak,” ujarnya.

Pada masa yang sama, kes dihasilkan menerusi pemeriksaan Ops Harga 2 membolehkan KPDNKK mengambil tindakan mahkamah terhadap peniaga terbabit dan bukannya tindakan berupa kompaun seperti sebelumnya.

Advertisement