Anda di sini

Latihan modal insan dalam industri pelancongan, hospitaliti dialu-alukan

Advertisement

KUCHING: Sarawak meng-alu-alukan inisiatif dalam kalangan negara ASEAN yang bertujuan memperkukuhkan lagi program-program latihan modal insan dalam industri pelancongan dan hospitaliti.

Menteri Pelancongan Sara-wak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata modal insan merupakan faktor penting yang memastikan industri berkenaan terus melakar kejayaan.

Menyedari industri pelancongan merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak, sumber manusia mesti dimantapkan lagi terutama daripada aspek mutu perkhidmatan dan inovasi.

Menurutnya untuk mencapai impian itu Sarawak ketika ini mempunyai dua institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan UCSI University (di Kuching) yang menyediakan program latihan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam industri berkenaan di negeri ini.

“Satu faktor yang penting untuk terus melakar kejayaan dalam industri pelancongan dan hospitaliti ialah modal insan.

“Dalam konteks ASEAN, Kerajaan Negeri Sarawak amat mengalu-alukan sebarang inisiatif yang bertujuan memperkukuhkan program-program latihan ditawarkan kepada mereka yang terlibat dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata antara program yang boleh ditawarkan ialah pertukaran pelajar dalam kalangan negara ASEAN.

Menerusi program seperti itu katanya, pelajar terlibat akan lebih mengetahui dan biasa dengan budaya pelbagai negara anggota ASEAN yang seterusnya merancak perkembangan industri pelancongan serta hospitaliti antara negara.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Majlis Perasmian Persidangan Pelancongan ASEAN di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Turut berucap pada majlis itu ialah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz.

Sementara itu, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan memberitahu bahawa industri pelancongan Sarawak telah menyumbang kepada pertumbuhan industri negara terutama daripada aspek kedatangan pelancongan dan pulangan.

Beliau berkata kerajaan me-nerusi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah memulakan pelan pelanco-ngan yang agresif serta hebat antaranya Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Menurutnya menjelang 2020 Malaysia menyasar untuk menarik 36 juta pelancong dan anggaran pulangan (hasil perbelanjaan pelancong) RM168 bilion.

“Pada 2013 Sarawak menerima 4.1 juta pelancong dan sektor pelancongan dijangka menyumbang RM8.6 bilion atau 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2013 iaitu RM57.77 bilion.

“Ini adalah hasil daripada usaha dan inisiatif berterusan kerajaan mempromosikan Budaya, Pengembaraan dan Alam Semula Jadi (CAN) dan segmen MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran)  sebagai tarikan utama di Sarawak,” jelasnya.

Abang Johari memberitahu, pada 2013 Sarawak telah memenangi 57 bidaan berbanding 45 pada 2012 (kebangsaan dan antarabangsa) melibatkan 248 hari persidangan, 37,865 delegasi dan kira-kira RM42.3 juta dalam bentuk perbelanjaan langsung delegasi.

Mengenai persidangan itu, Abang Johari berkata ia merupakan platform terbaik untuk wakil dan pakar industri dari negara anggota ASEAN berkongsi penge-tahuan dan kejayaan yang membawa kepada dimensi baharu sektor pelancongan di rantau ini.

“Diharap negara-negara anggota akan terus be-kerja sama dalam semangat 1ASEAN untuk menjadikan rantau ini menjadi destinasi pilihan dunia,” katanya.

Advertisement