Anda di sini

Mahkamah Rayuan kekalkan keputusan enam ditangkap secara salah 2007

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa tindakan polis menangkap lima peguam hak asasi manusia dan seorang aktivis yang menyertai acara jalan kaki bersempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia di Kuala Lumpur pada 2007 adalah menyalahi undang-undang dan memerintahnya membayar ganti rugi RM10,000 kepada setiap mereka.

Panel tiga anggota diketuai Datuk Zaharah Ibrahim sebulat suara menolak rayuan polis dan kerajaan untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan penangkapan enam individu itu sebagai menyalahi undang-undang dan memerintahkan agar setiap mereka dibayar ganti rugi am RM10,000 dan kos guaman RM60,000.

Panel itu, yang turut dianggotai Hakim Datuk Anantham Kasinather dan Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim, juga menolak rayuan balas yang dikemukakan R.

Sivarasa, N.Surendran, Latheefa Beebi Koya, Eric Paulsen, Amer Hamzah Arshad dan aktivis Johny Andu alias Abu Bakar Adnan bagi mendapatkan jumlah bayaran ganti rugi lebih tinggi.

Hakim Zaharah tidak memerintahkan pembayaran sebarang kos.

Pada 10 Dis, 2007, enam individu itu dikenakan pertuduhan berhimpun secara haram sehari sebelumnya di hadapan bangunan Kamdar di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan tidak mematuhi perintah polis supaya bersurai.

Pada 16 April 2009, mereka dibebaskan dan dilepaskan Mahkamah Sesyen, tanpa dipanggil membela diri terhadap tuduhan itu.

Pada 8 Dis 2010, mereka memfailkan saman sivil terhadap Timbalan Ketua Polis Dang Wangi ketika itu Supt Che Hamzah Che Ismail, ketua polis negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung penangkapan dan penahanan mereka.

Dalam penyata tuntutan mereka, enam individu itu mendakwa mereka menyertai dan/atau menganjurkan perhimpunan secara aman serta berarak bersempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia yang disambut di seluruh dunia pada 10 Dis setiap tahun.

Keenam-enam mendakwa mereka dibenarkan terus menyertai perarakan itu selama 10 minit, tetapi sebelum berakhir tempoh itu, mereka dapati mereka dikelilingi ramai anggota polis.

Mereka mendakwa selepas itu, polis mengeluarkan peintah bersurai, tetapi ketika mereka cuba berbuat demikian (untuk bersurai), mereka ditangkap.

Pada Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O’Hara memerintahkan setiap mereka dibayar ganti rugi am RM10,000 dan kos guaman RM60,000 selepas memutuskan bahawa penangkapan dan penahanan mereka adalah tidak sah.

Mereka diwakili peguam Edmund Bon, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nadia Hanim Tajuddin, mewakili polis dan kerajaan. — Bernama

Advertisement