Anda di sini

KPS Bintulu terus dukung budaya

Advertisement

BINTULU: Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Pejabat Bintulu menyenaraikan beberapa aktiviti kebudayaan sepanjang tahun ini melibat penyertaan guru-guru dan para pelajar sekolah termasuk orang awam di bahagian ini.

Pegawai Penguasa Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Pejabat Bintulu, Jacqueline Richard Lee berkata dengan menyenaraikan aktiviti itu menuntut persediaan yang perlu bagi menjayakan pelaksanaan aktiviti tersebut.

“Sebanyak 34 buah sekolah disasarkan terlibat dalam aktiviti yang dianjurkan itu namun penyertaan adalah mengikut agihan dan terbuka kepada sekolah yang paling dekat (kawasan bandar) terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Aktiviti Kebudayaan 2014 di Bilik Mesyuarat Sri Bintulu Wisma Residen yang dihadiri oleh guru-guru sekolah dan wakil Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu semalam.

Jacqueline berkata, penyertaan para pelajar atau sekolah yang jauh adalah mengikut kemampuan sekolah terbabit.

Sementara itu, Pegawai Kebudayaan Pejabat KPS Bahagian Bintulu, Tuah Jili berkata penganjuran aktiviti kebudayaan itu adalah untuk melahirkan aktivis-aktivis berbakat dalam bidang seni sekali gus menyediakan mereka dengan pelbagai aktiviti berkaitan anjuran jabatan-jabatan kerajaan dan swasta di sini.

Begitupun, kursus-kursus yang dianjurkan misalnya berkaitan koreografi tari adalah berbentuk asas sahaja menyediakan para pelajar dan guru-guru dengan aktiviti sekolah dan berkarya.

Tuah menyenaraikan kursus-kursus yang akan dianjurkan sepanjang tahun ini iaitu Kursus Asas Tarian dan Muzik Tradisional sepanjang tahun 2014, Bengkel Asas Koreografi Tari, Festival Tari, Pertandingan Rumah-Rumah Etnik, Kursus Asas Tarian Tradisional untuk sekolah rendah dan menengah.

Diikuti Kursus Tarian Rampaian Tradisional dan Bengkel Asas Muzik Tradisional, Kursus Asas Tarian Tradisional untuk guru-guru sekolah rendah dan menengah, Bengkel Asas Teater, Pratikum Seni peringkat Zon Utara dan FiKon (Final Konsert) Musim ketiga yang membabitkan pertandingan nyanyian dan ‘Bintulu Got Talent.’

Katanya, kursus dan pertandingan itu akan diadakan sekitar Februari, Mac, April, Mei, Jun, Oktober dan November dengan menyasarkan penyertaan orang awam, kelab kebudayaan sekolah, guru-guru dan aktivis seni tari serta untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

Menurutnya, lokasi penganjurannya akan diadakan di Stadium Muhibah Bintulu, Hotel Li Hua, di SMK Tatau, di Bahagian Limbang untuk Pratikum Seni Peringkat Zon Utara dan Fikon pula diadakan di Bintulu, Tatau dan Sebauh.

Pada majlis yang sama, sijil penyertaan turut disampaikan kepada pihak sekolah yang menyertai Kursus Asas Tarian Tradisional tahun lalu.

Advertisement