Anda di sini

Isu subsidi minyak, warga pedalaman harus sabar: Dennis

Advertisement

MIRI: Penduduk di kawasan pedalaman diminta untuk bersabar dengan isu berkaitan subsidi minyak yang diperuntukkan oleh kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, kontraktor yang bakal dipertanggungjawabkan tentang hal itu sedang dalam proses dilantik.

“Bukannya kita tidak diberikan langsung (subsidi minyak), ia masih dalam proses pelantikan (kontraktor),” katanya di sini kelmarin.

Menurutnya, kerajaan sememangnya memperuntukkan subsidi minyak khas setiap tahun untuk rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman khususnya Baram dan beliau percaya tahun ini juga tidak ketinggalan.

Bagaimanapun, beliau menasihati rakyat agar bersabar kerana proses pelantikan kontraktor mungkin memakan sedikit masa.

“Ada prosedur yang harus diikuti dalam perlantikan, bukan kerja semberono kerana kita mahu yang terbaik untuk rakyat,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut menempelak pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengapi-apikan rakyat dengan isu berkenaan.

“Bila kerajaan bagi sesuatu tidak pula tahu hendak berterima kasih, sebaliknya bila kerajaan lambat sedikit riuh satu dunia,” katanya.

Beliau juga memberitahu, semua pihak yang selama ini mendapat manfaat daripada pelbagai bantuan kerajaan untuk menunjukkan sikap bersyukur.

Advertisement