Anda di sini

Anggota JPJ guna taktik penyamaran sempena Ops TBC

Advertisement

KUCHING: Taktik penyamaran sebagai penumpang bas ekspres antara kaedah yang akan digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Tahun Baharu Cina (TBC) dari 24 Januari hingga 9 Februari depan.

Ketua Penolong Pengarah JPJ Sarawak Kuek Jui Hock berkata, taktik itu digunakan bagi memastikan sasaran sifar kemalangan membabitkan bas ekspres sepanjang tempoh itu tercapai.

“Kita akan menempatkan anggota penguat kuasa di setiap terminal bas ekspres yang ada di negeri ini.

“Ada di kalangan mereka akan menyamar sebagai penumpang bagi memastikan pemandu dan pengusaha bas ekspres mematuhi peraturan ditetapkan dalam usaha kita mengurangkan risiko berlakunya kemalangan melibatkan bas ekspres pada Ops TBC nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ops TBC 2014 sempena Tahun Baharu Cina yang turut dihadiri Ketua Penolong Pegawai Penguat Kuasa JPJ Sarawak Marhainis Nasren dan Pegawai Perhubungan Awam JPJ Rogie Saui di Kuching Sentral di sini, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan teknikal bas serta lesen pemandu juga akan dilakukan semasa penyamaran itu dan pemandu yang didapati melakukan kesalahan dikenakan kompaun serta-merta.

“Kita mempunyai kira-kira 150 anggota dan dianggarkan 50 anggota penguat kuasa akan terlibat dalam operasi penyamaran sepanjang Ops TBC ini,” katanya lagi.

Pada masa sama, Kuek memberitahu pihaknya akan menjalankan pemeriksaan awal di depo (tempat menyimpan bas ekspres) dari 20 hingga 23 Januari sebelum Ops TBC untuk memeriksa keadaan secara teknikal dan tahap keselamatan bas.

“Tumpuan diberikan kepada pemandu dan pengusaha bas ekspres ini kerana pengangkutan itu merupakan antara kenderaan yang paling banyak membawa penumpang iaitu 45 orang,” jelasnya.

Selain bas ekspres, beliau memberitahu satu operasi khas iaitu ‘Ops Motosikal’ juga akan diadakan sepanjang tempoh Ops TBC memandangkan kenderaan itu merupakan penyumbang utama kepada kadar kemalangan di negeri ini.

“Motosikal juga akan diberi tumpuan sepanjang Ops TBC tahun ini kerana kadar kemalangan maut paling tinggi dicatatkan oleh penunggang motosikal,” tegasnya.

Mengulas lanjut mengenai Ops TBC, Kuek menjelaskan pihaknya akan memasang khemah di beberapa lokasi kerap kemalangan di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

“Kita akan menjalankan pemeriksaan secara rawak di seluruh bahagian secara serentak sepanjang tempoh operasi ini dan tujuan kita bukanlah hendak mendenda pengguna tetapi untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya,” tambahnya.

Menyentuh mengenai statistik keseluruhan Ops TBC 2013, Kuek berkata, sebanyak 8,886 kenderaan pelbagai jenis diperiksa dan daripada jumlah itu 1,753 saman dikeluarkan.

“Sementara itu sebanyak 1,504 jumlah kenderaan pelbagai jenis diambil tindakan sepanjang Ops TBC tahun lalu,” ujarnya.

Advertisement