Anda di sini

Pos Malaysia tidak keberatan serah bangunan Pejabat Pos Besar Kuching

Advertisement

KUCHING: Pos Malaysia tidak keberatan untuk menyerahkan bangunan Pejabat Pos Besar Kuching yang merupakan salah sebuah bangunan warisan, kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun menurut Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, belum ada kesepakatan dicapai antara kedua- dua pihak kerana ia masih dalam proses rundingan.

“Bangunan ini merupakan sebahagian daripada bangunan warisan dan kerajaan negeri bercadang untuk mentransformasikan sekitar kawasan tersebut kepada Halaman Warisan yang bermakna turut melibatkan bangunan Pejabat Pos berkenaan.

“Bangunan ini telah diserahkan kepada Pos Malaysia ketika pengisytiharan dahulu dan sekarang ini kerajaan negeri bercadang untuk mendapatkan balik bangunan tersebut serta mengisytiharkannya sebagai bangunan warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian peruntukan bagi pelaksanaan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada badanbadan kebajikan, keagamaan dan persatuan di Tingkat 1, Bilik Ixora, Wisma Sultan Tengah di sini semalam.

Tambah Abang Johari, sebaik keputusan dicapai antara kedua-dua pihak, kerja-kerja menaik taraf akan dilakukan ke atas bangunan tersebut untuk dijadikan sebagai galeri seni atau muzium bagi mempamerkan hasil-hasil seni dan sebagainya.

“Kami hanya akan menggunakan sebahagian daripada bangunan itu yang mana tidak lagi digunakan bagi tujuan pemuliharaan dan dijadikan sebagai galeri seni memandangkan galeri ini amat diperlukan di sini.

“Pihak Pos Malaysia bersedia untuk menyerahkan bangunan tersebut dan kami berharap proses rundingan akan dapat diselesaikan dalam tahun ini bagi merealisasikan rancangan kerajaan untuk mewujudkan Halaman Warisan,” ujarnya.

Sementara itu, Kurator Seksyen Penguat Kuasa Jabatan Muzium Sarawak Dayang Morzanah Awang Haddy sebelum ini memberitahu bahawa bangunan tersebut telah diwartakan sebagai bangunan warisan di bawah Ordinan Warisan Budaya Sarawak 1993 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Muzium Sarawak.

Dibina pada 1931, bangunan pejabat Pos Besar ini merupakan antara pusaka peninggalan Raja Putih sepanjang pemerintahan keluarga Brooke dari 1841 hingga 1941.

Buat masa ini, bangunan tersebut masih lagi milik Pos Malaysia dan beroperasi sebagai pejabat pos kecil cuma status bangunannya telah diwartakan sebagai bangunan warisan.

Dalam pada itu Jabatan Muzim Sarawak telah diberikan kepercayaan untuk mengadakan rundingan bersama Pos Malaysia bagi membenarkan kerajaan negeri mengambil alih bangunan tersebut.

 

Advertisement