Anda di sini

Longgokan sampah jadikan Bau berbau

Advertisement

KUCHING: Pihak bertanggungjawab harus menyelesaikan dengan segera masalah pungutan sampah yang tidak memuaskan di daerah Bau sebelum ia menjadi bertambah teruk.

Ahli Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Mas Gading Boniface Willy Tumek berkata, sejak minggu kedua Disember tahun lepas, sampah domestik di daerah itu yang melibatkan 82 kampung termasuk pekan kecil Tondong, Buso dan Sianiawan tidak dipungut menyebabkan persekitaran di situ sangat kotor.

Menurut beliau, masalah itu timbul selepas Majlis Daerah Bau menamatkan perkhidmatan kontraktor terdahulu pada awal Disember 2013 kerana tidak memberi perkhidmatan memuaskan dan pelantikan kontraktor baharu yang mula berkhidmat pada 1 Januari 2014.

“Kali terakhir sampah dipungut ialah pada minggu pertama Disember 2013 oleh kontraktor terdahulu dan kutipan hanya mula dilakukan pada 1 Januari 2014 tetapi mutu perkhidmatan kontraktor baharu juga tidak memuaskan seperti kontraktor sebelum ini.

“Menurut pegawai di Majlis Daerah Bau, masalah pungutan sampah di Bau bertambah teruk selepas pelantikan tiga kontraktor pada awal Disember 2013.

“Namun ketika saya mengadakan lawatan ke beberapa lokasi pada 10 Januari 2014, tiada perubahan berlaku,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR Sarawak di sini semalam.

Boniface menambah pada hari sama, beliau bertemu dengan kontraktor yang bertanggungjawab terhadap kawasan Singai, Bratak dan Jagoi, wakil kontraktor itu memberi jaminan kerja-kerja memungut sampah akan kembali seperti biasa pada 14 Januari 2014.

Bagaimanapun katanya, jaminan itu tidak ditunaikan kerana tiada banyak perubahan berlaku dan difahamkan antara faktor menyebabkan kontraktor berkenaan gagal melaksanakan tugas dengan baik ialah kekurangan peralatan.

“Kontraktor yang layak sekurang-kurangnya ada dua mesin atau jentera memungut sampah, tetapi kontraktor baharu ini hanya ada sebuah jentera ‘compactor’ menyebabkan mereka tidak dapat melakukan pungutan dua kali seminggu seperti sebelum ini,” ujarnya.

Advertisement