Anda di sini

Lelaki didenda kerana miliki, guna dadah

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM4,000 atau 13 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan memiliki dan menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine.

Roslee Mohammed,  45, dari Jalan Pujut-Lutong di sini didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine (syabu) seberat 0.02 gram (berat bersih).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.30 pagi, 11 Ogos 2009 di sebuah bilik di rumahnya di Jalan Pujut-Lutong di sini.

Selain itu, tertuduh juga didapati telah menggunakan dadah jenis Methamphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952, dengan cara memasukkan bahan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Bagi kesalahan itu, dia telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan denda RM5,000 atau penjara dua tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh dikenakan denda RM2,500 atau lapan bulan penjara dan denda RM1,500 atau lima bulan penjara bagi kesalahan kedua.

Advertisement