Anda di sini

SMK Rosli Dhoby dan SK Sentosa muncul johan Pertandingan Sepanduk

Advertisement

UNTUK ALBUM: Kakitangan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu diketuai setiausahanya Justani Joni dengan pakaian baju Melayu serba merah bersama sepanduk semasa menyertai perarakan dan perhimpunan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Sibu, semalam.

SIBU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rosli Dhoby dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sentosa muncul johan Pertandingan Sepanduk kategori sekolah menengah dan sekolah rendah pada Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Sibu di sini, semalam.

Tempat kedua kategori sekolah menengah dimenangi SMK Kampung Nangka dan disusuli SMK Sibu Jaya di tempat ketiga manakala bagi kategori sekolah rendah tempat kedua jatuh kepada SK Abang Ali dan ketiga dimenangi SK Agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee yang bersama-sama ribuan umat Islam menyertai perhimpunan dan perarakan sambutan Maulidur Rasul di Masjid An-Nur, turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Setiap pemenang menerima sebuah piala dan hadiah wang tunai.

Disebabkan hujan, perarakan sambutan Maulidur Rasul itu dibatalkan dan perhimpunannya diadakan di Masjid An-Nur.

Sungguhpun demikian ia tidak mematahkan semangat umat Islam untuk memeriahkan sambutannya.

Perarakan dan Perhimpunan Maulidur Rasul itu sepatutnya diadakan di Dataran Bandar Sibu.

Kontinjen SMK Kampung Nangka yang diketuai Pengetuanya Hasmah Fauzi disertai 400 guru dan pelajar manakala kontinjen SK Abang Ali diketuai Cikgu Bolhassan Sepawi dengan 850 pelajar.

Keputusan pemenang bagi kategori jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, masjid, surau, persatuan dan kelab akan diumumkan pada majlis ceramah Malam Cinta Rasul di dewan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) pada 25 Januari ini.

Pegawai Penerangan Hal Ehwal Islam Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Hab Halal Negeri Perak Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias Al Hafiz akan menyampaikan ceramah ‘Ke Arah Membina Generasi Huffaz Yang Mencintai Rasulullah SAW’ pada majlis itu kelak.

Majlis Malam Cinta Rasul itu yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Assek dengan kerjasama LAKIS akan diserikan dengan kehadiran kumpulan nasyid Al-Mawlid dan Anak Warisan Kasih.

Jurucakap jawatankuasa pengelola menjemput muslimin dan muslimat di sini dan sekitar Sibu datang beramai-ramai untuk menyerikan lagi Malam Cinta Rasul itu.

Advertisement