Anda di sini

Kelewatan penyaluran peruntukan biayai perpindahan ke BRS jejas murid miskin

Advertisement

KUCHING: Kelewatan pen­yaluran peruntukan untuk membiayai kos perpindahan penduduk daripada empat kampung terjejas oleh Em­pangan Bengoh didapati te­lah menimbulkan satu situ­asi buruk kepada beberapa murid sekolah rendah di situ khususnya mereka yang daripada keluarga miskin tegar.

Ini kerana, ada di kalan­gan mereka yang terpaksa melupakan hasrat untuk ber­sekolah di sekolah sementara di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) kerana ibu bapanya tidak dapat berpin­dah ke penempatan baharu tersebut disebabkan ketiad­aan wang.

Malah, sebilangan daripada mereka juga dikatakan perlu melalui perjalanan kaki sela­ma berjam-jam dari kampung masing-masing untuk pergi ke sekolah berhampiran sama ada di SK Pangkalan Ampat atau SK Bengoh.

Menurut Pengerusi Jawa­tankuasa BRS Itodio Peu, masalah tersebut berlaku di Kampung Taba Sait.

“Seorang daripada mu­rid SK Taba Sait terpaksa berhenti sekolah kerana ibu bapanya tidak dapat berpindah disebabkan kes­empitan wang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akan tetapi, harus dibang­gakan ialah pengorbanan se­orang murid dari SK Semban yang pada mulanya sanggup tinggal bersendirian di ru­mah baharu mereka di BRS demi mengikuti persekola­han di sekolah sementara BRS yang dinamakan SK Taba Sait.

Namun demikian, murid tersebut kini dikatakan ting­gal bersama ibu saudaranya di situ.

“Murid ini adalah daripada keluarga miskin dan ibu bap­anya terpaksa meninggalkan­nya di BRS untuk bersekolah kerana ibu bapanya perlu mencari nafkah di kampung asal mereka.

“Bagaimanapun, ibu bap­anya akan pergi ke BRS pada setiap hujung minggu untuk menemaninya,” kata seorang guru di sekolah sementara BRS ketika ditemu bual, semalam.

Murid-murid dari SK Taba Sait dan SK Semban telah ditetapkan untuk bersekolah di sekolah sementara BRS sejak awal Januari lalu ker­ana kedua-dua sekolah asal mereka telah ditutup.

Mereka terdiri daripada anak-anak Kampung Taba Sait, Kampung Rejoi, Kam­pung Semban dan Kampung Pain Bojong yang sepatutnya berpindah ke BRS pada pen­ghujung tahun lepas.

Bagaimanapun, lebih sepa­ruh daripada 204 keluarga yang sepatutnya berpindah ke BRS belum lagi berpindah sebaliknya terus menetap di kampung asal mereka yang terletak berhampiran Em­pangan Bengoh.

Justeru, ADUN Bengoh yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil berkata akan mendap­atkan maklum balas mengenai perkara itu dan mahu supaya sesuatu dilakukan bagi mem­bolehkan murid-murid terba­bit meneruskan persekolahan mereka.

Katanya penduduk terjejas tersebut sepatutnya sudah berpindah ke BRS sebelum penghujung tahun lepas tetapi kerana faktor cuaca yang tidak mengizinkan selain kelewatan penyaluran peruntukan, telah memaksa proses pemindahan dilewatkan.

Tambah beliau, pemin­dahan penduduk berkenaan akan dilakukan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tetapi tarikh pemindahan tersebut masih belum ditetapkan berikutan kelewatan penyalu­ran peruntukan untuk tujuan tersebut.

“Sebaik peruntukan su­dah diterima dan keadaan cuaca mengizinkan, kerja pemindahan akan segera dilakukan,” katanya sambil menambah akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk meminta supaya pen­yaluran dana disegerakan bagi membolehkan pemin­dahan keluarga terbabit dipercepatkan.

Dalam pada itu, Dr Jerip turut menasihati para ibu bapa terlibat agar tidak menga­baikan pelajaran anak-anak mereka.

“Ibu bapa tidak sepatutnya menafikan peluang untuk anak-anak mereka menimba ilmu kerana hanya melalui pendidikan masa depan anak-anak mereka akan terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Jerip turut menyatakan keyakin­annya bahawa semua pen­duduk terlibat akan ber­pindah ke BRS walaupun ketika ini kebanyakannya adalah berkeras tidak mahu berpindah.

Sebahagian besar 204 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dibina di BRS dan dita­war secara percuma kepada keluarga terbabit masih be­lum didiami sehingga kini.

Menurut Dr Jerip, kelu­arga-keluarga tersebut kini boleh berpindah ke BRS memandangkan semua rumah terbabit sudah siap dibina dan dilengkapi dengan bekalan air dan elektrik.

BRS yang dibangun di kawasan seluas 130 hektar dengan kos RM129 juta adalah terletak di Penrissen berhampiran Kampung Se­madang, Jalan Puncak Borneo kira-kira 20 kilometer dari Empangan Bengoh dan 43 kilometer dari sini.

Pembinaan empangan Bengoh yang menengge­lamkan kawasan seluas 1,600 hektar dengan kos pembinaan RM310 juta te­lah bermula pada 2007 dan disiapkan pada 2010 tetapi sehingga kini ia masih belum memberi manfaat kepada penduduk di sekitarnya dis­ebabkan kelewatan proses pemindahan penduduk yang terjejas.

Empangan berkenaan berkapasiti menakung 144.1 juta meter padu air untuk dibekalkan ke loji rawatan air Batu Kitang bagi me­nambah kapasiti semasa daripada 786 mega liter sehari (MLD) kepada 2,047 MLD untuk menampung permintaan pengguna di bahagian Kuching dan Sa­marahan.

Advertisement