Anda di sini

Pihak berkuasa diminta turun padang pantau infrastruktur

Advertisement

SIBU: Pihak berkuasa berkaitan digesa turun padang untuk memantau keadaan infrastruktur dari semasa ke semasa bagi memastikannya berfungsi dengan sempurna.

Ahli Parlimen Lanang Alice Lau berkata infrastruktur seperti jalan raya, lampu jalan dan sistem saliran perlu dipastikan dalam keadaan berfungsi pada setiap masa untuk keselesaan dan keselamatan orang ramai.

“Adalah menjadi kewajipan menyediakan kemudahan sedemikian demi keselesaan dan keselamatan orang ramai,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Mengambil keadaan Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce yang menghubungkan Jalan Hulu Lanang hingga ke Jalan Tunku Abdul Rahman, Alice menjelaskan bahawa ia sungguh mengecewakan.

Keadaan permukaan jalan sekitar jalan terbabit dalam keadaan teruk dan perlu dinaik taraf serta diselenggarakan segera.

Menurutnya, beliau telah menerima banyak aduan termasuk banjir, jalan berlubang dan sistem saliran yang lemah.

Selain itu, keadaan permukaan jalan yang beralun di laluan berkenaan juga dikhuatiri boleh mendatangkan risiko kematian kepada pengguna jalan raya.

Alice turut mendakwa beliau menerima aduan lampu di Jalan Tunku Abdul Rahman sering tidak berfungsi.

“Masalah itu perlu diberi perhatian serius memandangkan laluan tersebut sibuk.

“Ini kerana, jalan tersebut merupakan jalan pintas dari Jalan Hulu Lanang Ke Lapangan Terbang Sibu,” ujarnya.

Alice berkata, pihak berkuasa terbabit termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Sarawak Energy Berhad perlu membetulkan situasi itu dengan segera.

“Secara umumnya, mereka perlu memantau keseluruhan infrastruktur dan penyelenggaraan kemudahan serta meningkatkan pemantauan terutama selepas berlaku banjir,” katanya.

Advertisement