Anda di sini

Warga Bank Rakyat perlu mesra media, pelanggan

Advertisement

KUCHING: Warga kerja Bank Rakyat Wilayah Sarawak dinasihati untuk meneruskan kerjasama dan hubungan baik yang telah terbina sejak sekian lama dengan pengamal media dan pelanggannya di sini.

Bekas Ketua Wilayah Bank Rakyat Azman Abdul Aziz yang menyatakan demikian menegaskan, keadaan itu adalah untuk situasi ‘menang-menang’ semua pihak.

“Pada 2012 Bank Rakyat Wilayah Sarawak dianugerahkan sebagai Bank Rakyat Wilayah Terbaik dari kalangan semua Bank Rakyat di seluruh negara. Tidak apa kalau tahun ini Bank Rakyat tidak menang kerana itu adalah kelemahan saya.

“Akan tetapi, sekiranya menang, ia kerana keberanian Khairudin (Abang Jajol) dan Naib Presiden untuk kita menang hasil kerja berpasukan. Tanpa semangat ini kita tidak akan menang apa-apa. Itu prinsip kedua saya dan jangan juga terlalu merendahkan diri.

“Ego penjual (pegawai bank) mesti rendah daripada pembeli (pelanggan) kerana kalau ego kita tinggi, mereka tidak akan membeli. Itu satu resipi kejayaan yang perlu rasanya dikongsikan,” ujarnya ketika diraikan pada majlis perpisahan di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.

Azman berkata, hubungan baik dengan pengamal media dan pelanggan juga perlu dijaga bak pepatah Melayu, ‘bagai aur dengan tebing.’

Tambahnya, rasa resah dan bimbang sudah menjadi lumrah sebagai seorang ketua, tetapi setiap sokongan akan membuatkan pemimpin itu sebagai seorang yang berani.

Azman bertugas di Sarawak bermula 2 Januari 1997 sebagai Pengurus Cawangan Satok dan kemudiannya sebagai Ketua Wilayah Bank Rakyat Sarawak pada 22 November sehingga 1 Januari 2014.

Beliau dipindahkan ke Semenanjung Malaysia sebagai Naib Presiden Bank Rakyat Wilayah 4 (Melaka/Johor) dan digantikan oleh Naib Presiden Bank Rakyat Wilayah 9 (Sarawak), Khairudin Abang Jajol.

Advertisement