Anda di sini

Tuanku Abdul Halim bangga pencapaian KUIN

Advertisement

BALING: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam bertitah melahirkan rasa bangga dengan pencapaian Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang kini melalui proses pemerkasaan bagi merealisasikan hasrat menjadi universiti penuh.

Titah Tuanku Abdul Halim, proses itu sejajar dengan hasrat kerajaan Kedah yang mahu melihat KUIN muncul sebagai institusi pengajian tinggi Islam berwibawa dan berprestasi tinggi dengan melahirkan graduan berkualiti dan berintegriti.

“KUIN melalui usaha seluruh warganya, berjaya menerima pengiktirafan tahap empat iaitu sangat baik dalam perincian markah sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA) 2011 oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Beta juga percaya dengan ciri keistimewaan yang tersendiri, mengekalkan komposisi tenaga pengajar yang terdiri daripada cerdik pandai serta ulamak terkemuka dari luar negara terutama (Universiti) Al-Azhar, KUIN akan berjaya menambah bilangan pelajar pada masa akan datang,” titah baginda dalam Istiadat Konvokesyen ke-15 KUIN di kampus Kuala Ketil, dekat sini.

Titah baginda pengiktirafan itu juga membuktikan peranan KUIN sebagai hab pendidikan antarabangsa kerana diyakini oleh para graduan asing yang berfungsisebagai ejen perubahan di negara asal mereka terutama dari dunia ketiga.

Baginda turut melahirkan rasa bangga dengan pelbagai kejayaan yang dilakar oleh KUIN dalam aspek kurikulum, kokurikulum serta sukan.

“Beta amat berbesar hati menjadi Canselor KUIN kerana beta tahu kerana semua bakal graduan telah terlatih dan terdidik dengan ilmu dunia akhirat dalam satu kombinasi yang amat dituntut oleh Islam.

“Para graduan bukan sahaja jadi profesional yang kompeten dan berkebolehan dalam menjalankan urusan duniawi bahkan akan  menjadi profesional yang akanmembawa kemajuan dan perkembangan lebih dinamik dan holistik kepada dirisendiri, agama, bangsa dan negara,” titah baginda.

Selain itu, Tuanku Abdul Halim juga bertitah baginda sangat mengambil berat akan perpaduan bukan sahaja dalam kalangan orang Islam tetapi seluruh rakyatnegara ini.

“Sikap jujur, toleransi dan menghormati orang lain merupakan sikap yang berupaya membawa kepada kejernihan penyatuan hubungan sekali gus memantapkan ummah dalam menghadapi segala bentuk cabaran sama ada dari kalangan ummah itu sendiri atau dunia luar,” titah baginda. — Bernama

Advertisement