Anda di sini

SABERKAS pentas belia serlah idea

Advertisement

DARO: Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) mampu menjadi landasan untuk memantapkan kerjasama menerajui pembangunan kepimpinan belia di sesuatu kawasan.

Timbalan Setiausaha Agung SABERKAS Negeri, Abu Seman Jahwie berkata SABERKAS juga merupakan pentas terbaik untuk golongan belia menyuarakan idea, pendapat dan pendirian.

Selain itu, ia bermatlamat menyatukan belia dan menggemblengkan tenaga mereka untuk pembangunan serta memiliki semangat dan iltizam untuk berbakti.

“Melalui SABERKAS, kita boleh menyuarakan pandangan untuk diketengahkan. Pada masa sama, kita yakin pendekatan ini mampu menyatupadukan belia di peringkat tempatan,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Sumbangan SABERKAS kepada pesakit di Hospital Daro di sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Jemoreng berkata, kewujudan SABERKAS bukan hanya dilihat sebagai satu saranan membekalkan belia dengan ilmu pengetahuan tetapi mampu membentuk sikap positif sebagai pemimpin.

Katanya, selain itu boleh mendidik dan membentuk masyarakat belia yang mempunyai personaliti unggul antaranya berjiwa besar, bersatu padu dan dinamik.

Sehubungan itu, Abu Seman berkata dasar kerajaan sewajarnya dihayati sepenuhnya oleh golongan belia sebagai acuan pembentukan sahsiah, jati diri dan kepimpinan.

Menurutnya, pendekatan serta integriti kepimpinan disarankan dalam menjaga kebajikan golongan muda merupakan luar biasa dan sepatutnya diteladani oleh mereka.

“Pelbagai program diatur menerusi kerjasama SABERKAS membabitkan penyertaan pemimpin bertujuan mendekati orang muda.

“Menyedari kepentingan aktif berpersatuan dan kekuatan kesatuan, saya menegaskan agar anggota SABERKAS turun padang lebih kerap mengenali dan mendekati belia.

“Justeru, saya yakin perjumpaan pertama ini boleh mencetuskan banyak pandangan baharu dalam menjana era pembangunan golongan belia,” katanya.

Beliau menambah, tenaga muda amat diperlukan kerana mereka berperanan sebagai pemangkin kepada perubahan sosial dan dapat membina keharmonian serta kemakmuran masyarakat  di alam bidang ekonomi, sosial dan politik berasaskan pada ilmu pengetahuan.

“Menerusi pertubuhan ini, saya juga yakin kita dapat membentuk masyarakat yang bersatu padu berasaskan semangat sukarela dan setia kawan,” jelasnya.

Advertisement