Anda di sini

Permintaan limau mandarin tetap meningkat pada Tahun Baharu Cina

Advertisement

SIBU: Biarpun harganya meningkat saban tahun namun permintaan terhadap limau mandarin oleh masyarakat Cina terutamanya menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina meningkat.

Seorang ahli perniagaan, Peter Ling berkata, beliau telah membeli 20 kotak limau mandarin sebagai persediaan.

“Penyediaan limau mandarin merupakan tradisi kaum Cina dan dikaitkan mempunyai maksud tersendiri dengan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

“Kurang tiga minggu lagi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, namun bekalan limau mandarin sudah membanjiri pusat membeli-belah di sini,” katanya di sini semalam.

Ling berkata, beliau mungkin membeli beberapa kotak lagi limau mandarin sebelum sambutan Tahun Baharu Cina namun bergantung kepada harganya.

Difahamkan, baru-baru ini harga limau mandarin yang diimport dari China dijangka meningkat antara 20 dan 60 peratus.

Faktor kenaikan itu disebabkan musim kemarau melanda Wilayah Fujian.

Sementara itu, seorang suri rumah dikenali sebagai Ting Huong Mee berkata, beliau akan membeli satu atau dua kotak limau mandarin.

“Saya membeli kira-kira dua kotak limau mandarin setiap kali Tahun Baharu Cina dan jumlah itu mencukupi untuk disediakan kepada tetamu yang datang berkunjung.

“Pada sambutan Tahun Baharu Cina tahun lalu, saya hanya membeli dua kotak limau mandarin sahaja,” katanya.

Advertisement