Anda di sini

SPA FC mahu ikut jejak Ngap Sayot

Advertisement

BARISAN IMPIAN: Pemain SPA FC memberi pose istimewa bersama barisan jurulatih selepas sesi latihan di Kuching semalam.

KUCHING: Skuad Liga Per­dana 2014, Putrajaya SPA FC mahu menimba seberapa banyak pengalaman pada perlawanan persahabatan menentang Sarawak di Sta­dium Negeri, malam ini.

Pengurus Pasukan, Faz­zarudin Abdul Rahman yang berasal dari Sarawak berkata meskipun besar hasrat untuk melihat kemenangan berjaya dicapai, beliau tetap sedar saingan sengit bakal dilalui anak-anak buahnya pada per­lawanan itu nanti.

Apatah lagi ketika berdepan dengan Sarawak yang dibarisi ramai pemain berkualiti serta berbekalkan status juara Liga Perdana 2013 dengan rekod tanpa kalah musim lalu.

“Ini adalah peluang ter­baik buat SPA FC menimba seberapa banyak pengalaman dengan salah sebuah skuad yang menjadi pencabar utama dalam saingan Liga Super 2014.

“Saya yakin semua pemain begitu teruja untuk turun beraksi dan ini akan men­janjikan pertembungan yang cukup sengit,” katanya di sini semalam.

Menurut Fazzarudin, per­lawanan itu juga cukup is­timewa buat dua pemain kelahiran Sarawak, Mahadir Mohamad dan Nur Shamie Iszuan Amin.

Mahadir merupakan bekas penjaga gol skuad Sarawak, manakala pemain muda Nur Shamie (19) yang dicungkil dari Akademi Bola Sepak Axis akan mengemudikan posisi tengah.

“Kedua-dua pemain akan diturunkan dalam kesebelasan utama. Ini peluang terbaik mereka memperlihat keheba­tan sebenar,” katanya.

Fazzarudin menambah, SPA FC tidak akan menu­runkan dua penyerang import dari Perancis, Eddy Viator dan Michael Nicoise yang masih cedera.

Sebaliknya, pemain im­port dari Korea Selatan, Shin Hyun-Joon diletakkan sandaran untuk mengemudi jentera serangan SPA FC.

“Impian utama SPA FC adalah untuk menjejaki ke­jayaan yang dicapai Sarawak pada musim lalu.

“Sebagai anak watan Sarawak, saya juga berharap skuad itu mampu mengulangi pencapaian cemerlang seperti yang dilakar Ngap Sayot pada musim lalu,” ujarnya.

Ia merupakan ujian terakhir skuad SPA FC yang dibimb­ing oleh Mohd Shah Alias Mohd Norbit dan sebelum ini mereka telah menempuh empat perlawanan persa­habatan.

Dalam pada itu, skuad Sarawak turut menggandakan persiapan menjelang perlawa­nan persahabatan menentang SPA FC malam ini.

Seperti SPA FC, perlawa­nan itu juga menjadi medan ujian terakhir anak-anak buah Robert Alberts sebelum mereka memulakan kempen Liga Super pada 18 Januari menentang ATM di Stadium Selayang, Kuala Lumpur.

Perlawanan persahabatan Sarawak-SPA FC berlang­sung di Stadium Negeri Kuching bermula jam 8.15 malam ini.

Advertisement