Anda di sini

Penduduk Kuantan diarah bersedia hadapi banjir gelombang kedua

Advertisement

KUANTAN: Penduduk di sekitar Kuantan diminta bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir gelombang kedua selepas Stesen Siren Amaran Banjir Sungai Lembing di sini, mengeluarkan amaran pertama.

Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Kuantan, Sumiliana Sulong berkata amaran pertama berlaku pada jam 3 petang semalam selepas paras air di Sungai Lembing mencecah 19.75 meter iaitu menghampiri paras berjaga-jaga (20 meter).

“Siren amaran itu akan dibunyikan lagi sekiranya paras air di Sungai Lembing mencapai paras berbahaya iaitu setinggi 22 meter,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau berkata sekiranya hujan lebat berterusan dalam tempoh 12 jam, paras air di Sungai Lembing berkemungkinan akan mencecah paras bahaya dan limpahannya akan sampai ke bandar Kuantan.

Sehingga jam 4 petang semalam, katanya KM36 Jalan Kuantan-Gambang ditutup kepada kenderaaan ringan ekoran dinaiki air setinggi 0.6 meter.

Menurut Sumiliana, Sungai Isap, Chendering, Paya Besar, Lubuk Puyu di sini antara kawasan yang menunjukkan limpahan air longkang manakala kawasan berpaya di Panching juga telah melimpahkan air.

“Kita meminta penduduk kawasan rendah di Kuantan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya hujan lebat sejak semalam (kelmarin) berterusan.

“Penduduk di kawasan yang dilanda banjir baru-baru ini diminta berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah,” katanya.

Banjir buruk yang berlaku di Pahang awal Disember lepas mengakibatkan lebih 40,000 mangsa banjir dari sembilan daerah dipindahkan, selain meragut tiga nyawa. — Bernama

Advertisement