Anda di sini

Wong kecewa jika benar SUPP dibatal

Advertisement

KUCHING: Mengecewakan dan menyedihkan jika benar Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) terpaksa menerima hakikat dibatalkan pen­daftaran.

Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh berkata beliau memang tidak ingin melihat parti tertua di negeri ini terkubur begitu sahaja.

Sambil memberitahu beliau kini berusaha mengesahkan pucuk pimpi­nan parti itu telah menerima surat tunjuk sebab daripada Jabatan Pen­daftar Pertubuhan (ROS), beliau berkata bagi pihaknya segala usaha untuk menyelamatkan parti telah dilaksanakan.

“Kami amat kecewa. Kami te­lah berusaha gigih untuk menyela­matkan parti.

“Malah kami pernah mengusulkan pelan perdamaian termasuk per­saraan pemimpin berumur termasuk saya sendiri.

“Cadangan kami tidak pernah diterima (kumpulan Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin),” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Wong yang juga Menteri Kera­jaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat mengulas mengenai dak­waan bahawa Cawangan Bekenu dan Cawangan Piasau telah diberi surat pembatalan pendaftaran oleh ROS.

Badan induk SUPP juga dikatakan telah menerima surat tunjuk sebab mengapa parti tersebut tidak wajar dibatalkan pendaftaran dalam tem­poh 30 hari.

Tiga pucuk surat itu bertarikh 6 Januari 2014 dan dipercayai telah di­terima oleh Setiausaha Agung SUPP Prof Dr Sim Kui Hian.

Sementara itu, pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) di ibu pejabat parti berkenaan pada malam Selasa lalu, Wong bersama empat ahli yang lain dikatakan telah dipecat daripada parti.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis pucuk pimpinan SUPP tidak memberi pengesahan mengenai perkhabaran itu.

SUPP berhadapan isu kesahihan keputusan pemilihan di beberapa peringkat cawangan menjelang Per­sidangan Perwakilan Tiga Tahunan SUPP pada Disember 2011.

TDC itu tidak dihadiri oleh semua perwakilan termasuk Wong sendiri kerana enggan menerima kesahihan keputusan pemilihan di cawangan-cawangan berkenaan.

Kumpulan Wong turut merang­kumi Datuk Dr Jerip Susil sebagai ADUN Bengoh, Datuk Lee Kim Shin (Senadin), Ranum Mina (Opar) dan Dr Johnical Rayong (Engkilili).

Advertisement