Anda di sini

Kumpulan Wong kesal dengan nasib SUPP

Advertisement

KUCHING: Kumpulan yang sehaluan dengan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh kesal dengan nasib parti itu yang mungkin dibatalkan pendaftarannya.

Pengerusi SUPP Bengoh Datuk Dr Jerip Susil berkata beliau sedih apabila mengetahui SUPP pusat telah diberi surat tunjuk sebab oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) serta dua cawangan parti iaitu Bekenu dan Piasau digugurkan pendaftarannya.

“Jika perkara ini benar, ini berita yang sangat tragis.

“Bagaimanapun kami telah mencuba sedaya upaya untuk berdamai dan semua usaha itu sia-sia.

“Kami juga cuba memperkenalkan beberapa formula dan cara untuk menyelamatkan parti, tetapi semua memekakkan telinga.

“Jika parti benar-benar sudah mencapai tahap ini, saya hanya merayu komuniti Cina berdiri teguh menyokong manamana entiti baharu atau organisasi yang bakal wujud untuk Cina, dengan itu kepentingan mereka kekal diwakili dalam kerajaan,” kata Menteri Muda Kesihatan Awam itu.

Sementara Pengerusi SUPP Simanggang Datuk Francis Harden Hollis pula berkata tidak kira apapun yang telah berlaku, mereka yang sehaluan dengan Wong dalam parti akan kekal setia antara satu sama lain.

“Kami akan terus bersama Dato Sri Wong (Soon Koh).  Saya tidak tahu apa yang harus saya katakan (mengenai perkara ini) sehingga kami duduk berbincang mengenainya.  Tambahan saya tidak tahu isi kandungan surat tersebut.

“Masih belum ada pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan,” kata Harden yang juga Menteri Muda Perumahan merangkap Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar.

Pengerusi SUPP Opar Ranum Mina memberitahu, beliau sedih dengan apa yang berlaku kepada parti politik berkenaan.

“Saya telah memberitahu pemimpinpemimpin parti sebelum ini, jangan biarkan pertelingkahan ini berterusan, dengan itu kami masih berpeluang menyelamatkan parti.

“Kami tidak boleh biarkan keadaan itu berlarutan sehingga sampai ke tahap ini,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar itu.

SUPP yang ditubuhkan pada Jun 1959 merupakan parti politik tertua di Sarawak.

Parti majoriti Cina itu telah mewakili kepentingan komuniti Cina sejak pembentukannya.

Parti itu mula berdepan cabaran dalam Pilihan Raya Negeri 2006 yang menyaksikannya tewas di tujuh kerusi ditandinginya.

Sejak itu, parti itu terus dibelenggu masalah dalaman, wujud perebutan kuasa dan pada masa sama berdepan persaingan hebat daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Gelombang terakhir perbalahan dalaman parti bermula semasa Persidangan Delegasi Tiga Tahun Sekali (TDC) pada Disember 2011 selepas kumpulan Wong memboikot persidangan tersebut.

Kumpulan itu mendakwa wujud ‘penyelewengan’ dalam pemilihan bagi memilih pemimpin-pemimpin cawangan dan delegasi (di peringkat cawangan) sebelum TDC diadakan.

Pertelingkahan dalaman yang berlarutan itu telah menyebabkan keadaan semakin payah dipulihkan dan kemungkinan bakal dibatalkan pendaftarannya.

 

Advertisement