Anda di sini

KIR enggan berpindah ke BRS diharap akan berbuat demikian

Advertisement

KUCHING: Koordinator Empangan Bengoh Temenggung Austin Dimin menyatakan harapan untuk mendapatkan maklum balas positif daripada Ketua Isi Rumah (KIR) yang masih enggan berpindah ke Bengoh Resettlement Scheme (BRS).

Beliau ketika dihubungi semalam, berkata masih terdapat 53 unit daripada 204 unit BRS yang disediakan bagi KIR sehingga kini belum dihuni.

“BRS sudah siap, walaupun kerajaan belum menetapkan secara rasmi bila mereka boleh berpindah tetapi setakat ini sudah ada 126 keluarga yang telah berpindah dan 53 lagi keluarga masih berfikir untuk membuat keputusan.

“Penduduk dari Kampung Semban, Kampung Pain Bojong, Kampung Teba Sait dan Kampung Rijoi sudah boleh mula berpindah ke kawasan BRS,” katanya.

Austin menjelaskan bahawa mereka yang enggan berpindah berkemungkinan disebabkan sukar untuk menyesuaikan diri dengan suasana baharu kerana sudah biasa dengan tanah yang luas.

Bagaimanapun, beliau berharap 53 keluarga yang masih mengambil keputusan untuk berfikir dan membuat keputusan yang bijaksana.

“Ini kerana tempat baharu menjanjikan keselesaan dengan kemudahan yang lebih baik,” tegasnya.

Pihaknya, pada 4 Januari lalu telah mengadakan taklimat dan sesi dialog bersama KIR yang sudah berpindah dan yang masih belum berpindah.

Tambahnya, kemudahan yang disediakan di BRS merangkumi kemudahan elektrik, bekalan air bersih, jalan raya, balai raya, tempat pembuangan sampah, tempat beribadat, sekolah rendah, lampu sisi jalan dan talian tetap telefon yang disambung dari Kota Padawan.

“Sebelum ini empat kampung di atas mempunyai dua sekolah rendah tetapi pemaju projek, Naim telah mengubah suai sekolah itu di dalam tapak kawasan BRS, cuma beberapa ela dari tapak rumah.

“Kampung Taba Sait akan dibanjiri air empangan manakala jalan ke kampung-kampung lain ditutup kerana terletak berhampiran empangan.

Sekarang, sekolah rendah dengan enam bilik darjah Sekolah Kebangsaan (SK) Semban juga sudah mula beroperasi sejak 2 Januari lepas,” ujarnya.

Projek BRS bermula di antara Kampung Semadang, Penrissen sehingga ke Kampung Skio, Bau.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu bahawa sebuah gereja Anglika dan sebuah gereja kecil SIB dengan kos RM2 juta yang akan disiapkan dalam enam ke lapan bulan, kini sedang dalam proses pembinaan.

“Baru-baru ini batu asas Gereja Anglika telah dilakukan oleh Rev Bishop Anglika Asia Tenggara, Datuk Bolly Lapok dan sebuah baruk atau panggah untuk penganut pagan (adat lama) juga disediakan.

Katanya BRS mempunyai kawasan bercucuk tanam bagi penghuni baharu yang mendiami kawasan tersebut.

Advertisement