Anda di sini

Hujan beri impak negatif kepada petani

Advertisement

SARATOK: Keadaan hujan secara berterusan tanpa henti sejak beberapa minggu memberi banyak impak negatif terutama kepada golongan yang bergantung kepada hasil pertanian, ternakan, laut dan sungai.

Situasi ini secara tidak langsung menjejaskan sumber pendapatan golongan terbabit yang banyak bergantung kepada faktor cuaca terutama kepada pekebun kelapa sawit dan penoreh getah.

Pekebun kelapa sawit, Mikai Tampang, 52, berkata kehadiran musim tengkujuh kebelakangan ini banyak memberi kesan dan tekanan hidup kepada dirinya.

“Banyak kerja yang harus dilakukan di kebun tidak dapat dilakukan dan tertangguh berikutan cuaca tidak menentu.

“Buah-buah sawit pun tidak dapat dituai berikutan kawasan kebun yang kerap dinaiki air. Jalan kebun pula mulai rosak dan becak.

“Harga pasaran buah sawit turun sejak kebelakangan ini pada paras RM390 satu tan dan memberi kesan kepada hidup kami. Apa tidaknya dengan situasi yang serupa, kos penyelenggaraan kebun pula meningkat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, selain itu kos pengangkutan hasil dari kebun ke lokasi pembelian Buah Tandan Sawit Segar (BTS) turut meningkat kerana keadaan jalan yang mencabar dan hanya mampu dilalui kereta pacuan empat roda.

“Kami pekebun kecil berharap kerajaan memantau harga semasa komoditi ini agar tidak berada pada paras harga terlalu rendah hingga meminimumkan keuntungan para pekebun.

“Jika situasi ini tidak dipantau dengan teliti oleh pihak berwajib, sudah pasti ramai pekebun kecil bakal mendapat impak dan tekanan dalam keadaan ini,” jelasnya.

Sementara itu bagi penoreh getah, Ragi Samban, 34, sejak keadaan cuaca yang tidak menentu dari November tahun lalu aktiviti utamanya mencari sumber rezeki dengan menoreh getah telah terganggu dan tidak dapat dijalankan.

“Mana tidaknya, setiap kali saya ingin turun menoreh hujan turun, menyebabkan batang getah basah serta tidak dapat ditoreh.

“Keadaan ini memberi cabaran kerana seperti sedia maklum, pada awal Januari setiap tahun kita memerlukan perbelanjaan agak banyak daripada kebiasaannya.

“Ini kerana bulan ini kita banyak mengeluarkan perbelanjaan menghantar anak-anak ke sekolah.

“Keadaan ini memaksa kita mencari pelbagai inisiatif lain untuk meraih rezeki.

“Saya terpaksa mencari kerja kontrak bina bangunan buat sementara waktu dengan memakan gaji sekitar RM35 sehari, sebagai pekerja biasa kerana saya tidak mempunyai kemahiran dalam bidang terbabit,” katanya.

Tambahnya, ramai rakan yang lain berharap kerajaan dapat menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 dengan segera.

“Harapan kita, BR1M wajar diagihkan kepada golongan kami pada Januari ini atau akhir Disember bagi membolehkan peruntukan terbabit digunakan untuk mendapatkan bahan keperluan anak-anak ke sekolah.

“Kita juga berharap kerajaan dapat memantau harga komoditi bahan pertanian agar kekal pada paras berpatutan serta tidak merugikan golongan terlibat,” katanya.

Advertisement